comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga minyak sawit mentah diunjur mengukuh sehingga akhir tahun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengukuh sehingga akhir 2024 antara RM3,900 hingga RM4,150 satu tan, demikian menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC berkata, harga minyak sawit diunjurkan mendapat sokongan pada RM3,900 satu tan pada Jun kerana bekalan gabungan dari Malaysia dan Indonesia dijangka menjadi sempit pada akhir tahun ini, bersama-sama dengan peningkatan dalam eksport minyak sawit.

Walau bagaimanapun, katanya kenaikan harga komoditi terbabit berkemungkinan dihadkan kepada RM4,150 disebabkan unjuran lebihan pengeluaran minyak sayuran oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) untuk 2024 dan 2025.

“Pada Mei, stok minyak sawit Malaysia mengalami sedikit peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 1.75 juta tan, walaupun pengeluaran meningkat 13 peratus.

“Inventori pertumbuhan terhad itu disebabkan oleh permintaan melebihi bekalan. Pengeluaran minyak sawit negara meningkat sebanyak 203,000 tan pada Mei, manakala gabungan eksport dan penggunaan domestik meningkat sebanyak 212,000 tan.

“Harga minyak sawit bersedia untuk melihat pergerakan menaik selanjutnya pada Jun kerana pertumbuhan pengeluaran di Malaysia dijangka perlahan pada separuh kedua 2024, manakala eksport melonjak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MPOC berkata, dari Januari hingga Mei 2024, Malaysia telah menunjukkan prestasi pengeluaran dan eksport minyak sawit yang mengagumkan, dengan pengeluaran meningkat sebanyak sembilan peratus (626,000 tan) dan eksport melonjak tujuh peratus (393,000 tan).

Sebaliknya, ia berkata Indonesia menyaksikan penurunan dalam pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 647,000 tan dari Januari hingga Mac 2024.

Katanya, ia mengakibatkan pengeluaran minyak sawit gabungan di Malaysia dan Indonesia diunjurkan turun sebanyak setengah juta tan pada suku pertama 2024.

“Walaupun Malaysia positif dalam pertumbuhan pengeluaran, gabungan pertumbuhan inventori minyak sawit bagi kedua-dua negara dijangka menjadi marginal,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini