comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga sederhana arang batu perkukuh kewangan TNB

Tenaga Nasional Bhd (TNB)

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka mengalami trend positif pengurangan dalam terimaan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) berikutan harga sederhana arang batu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din, berkata perkembangan itu secara ketara mengukuhkan modal kerja syarikat utiliti nasional itu, sekali gus meningkatkan aliran tunai dan memperbaiki tahap penggearan atau nisbah hutang kepada ekuiti pada tahun ini.

Katanya, pengurangan harga arang batu global, digabungkan dengan pendekatan proaktif TNB untuk meningkatkan kutipan hasil, telah meletakkan prospek aliran tunai lebih baik kepada syarikat dan ia juga disokong oleh pinjaman RM6 bilion yang dijamin kerajaan untuk menstabilkan industri tenaga.

“Pengurusan berhemah kewangan TNB ini membolehkan syarikat memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan dividen interim sebanyak 18 sen, yang merangkumi 49.4 peratus daripada pelarasan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI),” katanya pada taklimat kepada penganalisis mengenai keputusan kewangan suku kedua kumpulan.

Sementara itu, TNB berkata, penambahbaikan dalam akaun ICPT digariskan oleh pemulihan kos ICPT sebanyak RM10.4 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.Ia menunjukkan komitmen berterusan kerajaan terhadap rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan mekanisme ICPT untuk 18 kitaran sejak 2015.

Tambahan pula, ia dijangka akan memperoleh semula RM4.7 bilion kos ICPT daripada kerajaan pada separuh kedua tahun ini.Berdasarkan arah aliran harga bahan api semasa, TNB menganggarkan pemulihan kira-kira RM 7 bilion daripada ICPT bagi separuh pertama tahun kewangan 2024.

Perspektif masa hadapan itu mencerminkan pendekatan proaktif TNB dalam mengurus prospek kewangannya dan mengawal perbelanjaan berkaitan bahan api.

TNB juga melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.2 bilion, manakala hasil menyaksikan peningkatan 3.8 peratus kepada RM25.95 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Loading...
Terkini