comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga simen, besi lebih tinggi dalam tempoh setahun

Harga bahan binaan pada Disember 2023 lebih tinggi berbanding setahun sebelumnya.- Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 2.8 peratus hingga 18.9 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Disember 2023 berbanding setahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen dicatatkan bagi Terengganu dan Kelantan (18.9 peratus), diikuti oleh Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (17.4 peratus).

Beliau berkata, indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 4.6 peratus bagi Disember 2023 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

“Namun begitu, terdapat penurunan indeks harga seunit besi dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.4 peratus), Tawau (-3.1 peratus) dan Miri (-3.0 peratus),” katanya dalam satu kenyataan Indeks Kos Bahan Binaan Disember 2023 yang diterbitkan oleh DOSM hari ini.

Mohd Uzir turut menyatakan bahawa perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih mencatatkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi bahan binaan utama seperti batu baur, pasir dan papan lapis bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.1 peratus), Kota Kinabalu (-0.2 peratus) dan Miri (-2.0 peratus).

“Peningkatan kecil dalam indeks harga bahan ini di kawasan Perak dan Kuching iaitu masing-masing 0.1 peratus,” katanya.

Beliau menambah, perbandingan bulanan pada Disember 2023 turut mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Katanya, terdapat sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan bagi beberapa kawasan iaitu di Johor (1.6 peratus), diikuti Pulau Pinang, Kedah & Perlis dan Terengganu dan Kelantan iaitu masing-masing 0.6 peratus.

Loading...
Terkini