comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks Pelopor terus meningkat, ekonomi kekal berkembang

PUTRAJAYA: Indeks Pelopor (IP) Malaysia terus meningkat 4.3 peratus pada April 2024, mencapai 113.1 mata berbanding 108.4 mata pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kenaikan untuk bulan kelima berturut-turut menunjukkan ekonomi kekal berada dalam momentum pertumbuhan.

“Peningkatan ini dapat dilihat dalam semua komponen kecuali import benar semikonduktor (-1.5 peratus). Selepas penurunan marginal sebanyak 0.5 peratus pada Mac 2024, perubahan bulanan IP meningkat semula sebanyak 0.8 peratus pada April 2024.

“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (0.8 peratus), import benar semikonduktor (0.2 peratus) dan bilangan syarikat baru didaftar (0.2 peratus),” katanya dalam laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi April 2024, hari ini.

Laporan IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan yang ketara dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.

Mohd Uzir berkata, melihat kepada trend jangka panjang terlicin pada April 2024, IP kekal berada di atas 100 mata, menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam bulan-bulan mendatang disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan pengembangan yang mampan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi keseluruhan ekonomi semasa pula, meningkat sebanyak 3.0 peratus pada April 2024, mencapai 125.4 mata berbanding 121.7 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan berterusan dua angka dalam nilai caruman benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (34.1 peratus) menjadi penyumbang utama kepada kenaikan ini.

“Merujuk kepada prestasi bulanan, IS juga meningkat sebanyak 0.3 peratus disokong terutamanya oleh peningkatan jumlah guna tenaga dalam pembuatan (0.2 peratus),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini