comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Industri sawit: “Perang komoditi” lebih 40 tahun masih belum ada kesudahan

 


Oleh: Afrina Romzi

BANGI: Baru-baru ini, Malaysia menang 10 daripada 20 perkara aduan diskriminasi biobahan api berasaskan sawit di Pertubuhan Perdagangan Dunia terhadap Kesatuan Eropah (EU).

Ini bukan kali pertama Malaysia berjaya menangkis tohmahan Barat khususnya EU mengenai industri minyak sawit.

Selepas lebih empat dekad dan ratusan juta ringgit dibelanjakan, perang komoditi masih belum menemui titik noktah.

Minyak sawit mula dipasarkan secara besar-besaran pada 1960-an sehingga Malaysia pernah menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dunia pada satu ketika.

Dalam kerancakan industri minyak sawit berkembang dan mendapat perhatian dunia, ia mula ditekan dengan ’perang komoditi’ kerana minyak sawit dilihat sebagai ancaman kepada minyak sayuran dan bijirin keluaran Barat.

Apa tidaknya, satu hektar ladang sawit mampu menghasilkan 3.5 tan minyak setahun, lebih tiga kali ganda minyak sayuran dan bijiran.

Foto hiasan

Lantas, mesej tidak beretika dijaja, kononnya minyak sawit mengandungi lemak trans yang boleh menyebabkan jantung tersumbat dan meningkatkan kolestrol.

Dakwaan tidak berasas itu memaksa Malaysia mengambil langkah perundangan dan melancarkan pelbagai kempen promosi minyak sawit yang menelan belanja besar.

Apabila cubaan memaparkan minyak sawit sebagai risiko kesihatan gagal, negara Barat menjalankan kempen ‘No Palm Oil’ atau ‘tidak mengandungi minyak sawit’.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir

“Tapi bila kita katakan ’No Palm Oil’ seolah-olah minyak sawit ini buruk ataupun membahayakan seperti minyak trans tadi kerana diletakkan label. Jadi pengguna lihat ’No Palm Oil’ ini bagus dan terus beli,” kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada BuletinTV3.

Turut dicanang kepada pengguna termasuk pelajar, video ancaman dihadapi orang utan yang didakwa akibat penebangan hutan.

Selain itu, Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang bakal dikuatkuasakan 30 Disember 2024 memberi cabaran kepada industri minyak sawit untuk berdaya saing di pasaran EU terutama apabila peraturan terbabit tidak dikenakan terhadap komoditi dari negara mereka termasuk minyak bunga matahari dan biji sawi.

“(Peraturan EUDR) hanya melibatkan komoditi seperti sawit, getah, koko, kayu kayan dan kopi. Terdapat 7 produk dikenakan dan kesemua ini tidak dihasilkan di EU. Jadi di situ nampak sangat mereka hanya meletakkan tekanan ini (kepada komoditi tertentu).”

“Kita kena masuk ke fasa menyerang. Sekarang ini kita sentiasa bertahan dan kita sentiasa terpaksa bersilat untuk mempertahankan komoditi kita,” kata Datuk Ahmad Parveez.

Komoditi sawit amat istimewa dalam kalangan rakyat Malaysia kerana lebih dua juta rakyat termasuk peneroka FELDA bergantung kepada industri ini.

Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha

“Terdapat industri-industri yang sokongan yang kehidupannya bergantung kepada minyak sawit. Begitu banyak seperti kontraktor, pekerja di kilang minyak kelapa sawit dan kilang penapis,” kata Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, Pengerusi MPOB.

Ramai juga tidak sedar terdapat banyak produk kegunaan harian mengandungi minyak sawit. 80 peratus minyak sawit digunakan untuk makanan seperti minyak masak, coklat dan mi segera. Manakala 20 peratus untuk bukan makanan seperti ubat gigi dan sabun.

“Barang-barang yang ada dekat para-para di pasar raya, saya boleh jamin, tidak lari daripadd 40 peratus mungkin sampai ke 50 peratus ada kandungan minyak sawit,” jelas Datuk Mohamad Helmy.

Malaysia membelanjakan RM120 juta setahun untuk mempromosikan minyak sawit dan menentang kempen anti minyak sawit berbanding negara barat yang mempunyai peruntukan jauh lebih besar. Contohnya Amerika Syarikat mempunyai dana AS$600 juta untuk dibelanjakan setahun bagi mempromosi minyak biji soya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini