comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Industri sawit: Malaysia atur strategi lonjakkan hasil melebihi RM150 bilion 


Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Industri sawit memberi sumbangan ketara kepada ekonomi negara. Tahun lalu sahaja ia menyumbang 2.97 peratus kepada KDNK Malaysia dengan nilai eksport sekitar RM95 bilion.

Negara memiliki keluasan ladang sawit sebanyak 5.7 juta hektar yang menghasilkan 18.5 juta tan minyak sawit mentah setahun atau 23 peratus daripada pengeluaran dunia.

Kira-kira empat juta hektar atau 73 peratus milik syarikat perladangan manakala 1.7 juta hektar diuruskan sekitar 450,000 pekebun kecil.

“Untuk memastikan kita kekal sebagai pengeluar kedua terbesar dunia (selepas Indonesia), kita perlu menumpukan cara kita meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar. Kalau syarikat-syarikat besar ini boleh mengeluarkan satu hektar 28 tan buah kelapa sawit setahun, ada yang boleh keluar 21 tan, tetapi untuk pekebun kecil ini selalunya purata tidak sampai 12 tan,” kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kepada BuletinTV3.

Bagi meningkatkan pengeluaran buah sawit, Datuk Seri Johari mahu sistem kluster ladang pekebun kecil bersama syarikat besar dilaksanakan secara berkesan dan beliau yakin hasil pekebun kecil akan melonjak dengan kerjasama ini.

Selain itu, beliau menegaskan kepentingan mempromosi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

MSPO yang dilancarkan pada 2013 menepati syarat dan kehendak negara pengguna khususnya Barat termasuk amalan bebas penebangan hutan dan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

“Piawaian ini perlu kita jual kepada orang. Maknanya kita terangkan kepada negara-negara yang membeli kita punya kelapa sawit. Kita tunjuk kepada mereka bahawa setiap kelapa sawit yang keluar daripada ladang kita memenuhi piawaian MSPO ini,” jelas beliau.

Pokok sawit bukan sahaja menghasilkan minyak iaitu sebanyak 10 peratus, malah 90 peratus daripadanya ialah sisa yang dipanggil biojisim dan berpotensi menjana hasil lumayan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga elektrik, biodiesel, produk berasaskan kayu dan alat ganti automotif.

“Ada syarikat yang melabur, membelanjakan RM12 juta hingga RM14 juta untuk memasang alat penjanaan kuasa. Kemudian mereka memproses bahan-bahan buangan daripada pemprosesan kelapa sawit, digunapakai sebagai bahan suapan yang menghasilkan tenaga dan digunakan untuk kilang. Maka bayaran bil elektrik kepada TNB mereka akan jatuh. Dalam purata, satu kilang boleh jimat sekitar RM4.5 juta satu tahun,” ujar Datuk Seri Johari.

Penggunaan sisa sawit melengkapkan ekonomi sirkular yang memanfaatkan hasil kitaran secara optimum dan mampan.

Jika dapat dilaksanakan dengan baik, pendapatan industri sawit mampu melonjak kepada RM158 bilion setahun atau lima peratus daripada KDNK.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini