comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Inflasi, kos barangan harian isu ekonomi utama pengundi

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Isu ekonomi terbesar bagi pengundi ialah inflasi dan kos barangan harian seperti makanan serta barangan pengguna, demikian menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

Beliau berkata, isu berkaitan hartanah tidak akan menjadi penentu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun harga rumah mampu milik adalah isu penting bagi minoriti pengundi.

Katanya, kemampuan hartanah masih menjadi topik hangat ramai pengundi, namun orang ramai kurang mengambil berat mengenai hartanah kerana harga telah stabil tahun ini dan bekalan baharu mencukupi, sebaliknya inflasi terus menjadi isu hangat.

“Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan telah menjalankan tugas dengan baik menguruskan gangguan ekonomi semasa global. Kami fikir kepimpinan ekonomi yang stabil ini akan berterusan tanpa mengira siapa yang menang pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kashif berkata, Malaysia bernasib baik atas beberapa sebab seperti inflasi di negara ini lebih rendah berbanding di kebanyakan negara di dunia, malah ekonomi Malaysia juga melonjak, pertumbuhan pekerjaan kukuh dan trend dalam pasaran komoditi global menjanjikan peningkatan permintaan untuk eksport.

Beliau berkata, inflasi di Malaysia mencecah 4.5 peratus dalam data terkini tetapi akan menjadi 3.3 peratus tahun ini secara keseluruhan, berbanding dengan kadar global 7.4 peratus.

Industri hartanah turut berharap Malaysia akan terus ke arah pasaran hartanah yang berpatutan dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Ujar beliau, dengan negara menuju ke arah negara pendapatan yang lebih tinggi, pemilikan rumah ialah alat yang paling berkuasa untuk mendapatkan keselamatan kewangan dan pembinaan kekayaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini