comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

IPO BWYS Group sasar kumpul modal RM56.4 juta

KUALA LUMPUR: BWYS Group Bhd menyasarkan untuk meraih RM56.4 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Menurut pengeluar produk kepingan logam dan pembekal perancah itu, IPO berkenaan yang dijadualkan pada 22 Julai, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 256.3 juta saham biasa baharu, mewakili 25 peratus daripada modal saham diperbesar serta tawaran untuk penjualan 100 juta saham sedia ada, atau 9.8 peratus daripada modal saham diperbesar, melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

“Berdasarkan harga IPO sebanyak RM0.22 sesaham dan saham terbitan diperbesar sebanyak 1,025.2 juta saham, permodalan pasaran BWYS semasa penyenaraian adalah kira-kira RM225.5 juta,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan pelancaran prospektus syarikat hari ini.

Daripada 256.3 juta saham terbitan, sebanyak 51.3 juta akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia melalui proses pengundian, 61.5 juta kepada pengarah, pekerja dan penyumbang syarikat yang layak melalui peruntukan borang merah jambu, 128.2 juta kepada pelabur bumiputera melalui tawaran saham persendirian, dan 15.4 juta kepada pelabur terpilih menerusi tawaran saham persendirian.

Pengarah Urusan BWYS, Kang Beng Hai, berkata kebanyakan daripada hasil IPO berkenaan akan digunakan untuk membina sebuah kilang baharu bagi memperluas kemudahan pembuatannya untuk produk kepingan logam.

“Selain itu, kami membeli jentera dan peralatan baharu termasuk barisan penyalutan serbuk automatik baharu serta mesin pembentukan gelekan dan peralatan berkaitan untuk meningkatkan keupayaan pembuatan kami bagi kekuda bumbung dan sistem rak industri,” katanya.

Beng Hai berkata, syarikat itu juga meluaskan rangkaian produknya dengan terbabit dalam pembuatan panel sandwic busa poliuretana, yang menyediakan penebatan daripada haba dan bunyi, dan turut melaksanakan sistem teknologi maklumat dan komunikasi untuk mendigitalkan proses pengurusan pengeluaran dan inventorinya bagi meningkatkan aliran kerja pengeluaran.

BWYS berkata, berikutan pelancaran prospektus itu, permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 5 Julai 2024.

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

Loading...
Terkini