comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Isu industri minyak sawit perlu ditangani dengan pendekatan lebih selaras 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pendekatan lebih selaras perlu dilaksanakan dalam menangani isu-isu berkaitan industri minyak sawit, termasuk aspek layanan terhadap pekerja asing di Malaysia, kata penggiat industri berkenaan.

Ketika membuat gesaan itu, Pengurus Besar Kelestarian Kumpulan Wilmar International Ltd Perpetua George berkata, ini penting memandangkan isu pekerja asing itu membabitkan banyak sektor di serata Malaysia dan tidak hanya terhad kepada industri minyak sawit.

“Bagi saya, isu ini tidak akan selesai selagi anda hanya harapkan satu sektor saja yang mengambil tindakan. (Ini kerana) input daripada sektor pembuatan serta pembinaan juga diperlukan,” katanya pada sesi panel bertajuk ‘Palm Oil Sustainability: The Way Forward’ dalam program Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik 2023 (POC2023) di sini, hari ini.

Beliau juga menyifatkan bahawa sektor minyak sawit juga sejak bertahun lamanya sering dipersalahkan dari segi layanan terhadap pekerja asing.

Selain itu, wujud kegagalan dari segi mengiktiraf sumbangan sektor itu terhadap pembangunan luar bandar biarpun terbukti syarikat-syarikat minyak sawit ini telah menyediakan prasarana seperti kemudahan tempat tinggal, sekolah serta jalan raya.

Malah, ketika pandemik COVID-19, syarikat-syarikat minyak sawit telah bertindak menyediakan kemudahan pusat vaksinasi di kawasan luar bandar, katanya.

“Banyak yang telah kami lakukan. Justeru, kami juga mengharapkan ada timbal balik, panduan daripada (pihak) Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia. Kami juga perlukan sokongan kerajaan,” katanya.

Program POC2023 selama dua hari yang berakhir hari ini, dianjurkan oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd. — BERNAMA

Loading...
Terkini