comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan borong, runcit catat rekod RM145.7 bilion pada Mac

PUTRAJAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM145.7 bilion pada Mac dengan suku tahun pertama 2024 mencatatkan RM429.2 bilion, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada Mac 2024 dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.1 peratus atau RM4.2 bilion kepada RM62.8 bilion.

Beliau berkata, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan empat peratus atau RM2.5 bilion kepada RM64.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 3.2 peratus atau RM600 juta untuk berada pada RM18.8 bilion.

“Bagi perbandingan bulanan, peningkatan 3.3 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan oleh perdagangan borong yang naik tiga peratus.

“Ini diikuti oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan runcit yang tumbuh masing-masing 8.3 peratus dan 2.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan Prestasi Perdagangan Borong & Runcit, Mac 2024 yang diterbitkan oleh DOSM hari ini.

Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata pertumbuhan 7.1 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 8.4 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM24.2 bilion.

Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (10.9 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (4.8 peratus), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (8.6 peratus), jualan runcit bahan api kenderaan (4.0 peratus), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (6.3 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (6.3 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (3.2 peratus).

“Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 2.1 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (2.6 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.8 peratus) dan jualan runcit barangan isi rumah (1.7 peratus),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini