comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jualan borong, runcit meningkat kepada RM138.5 bilion

Foto hiasan / NSTP 

PUTRAJAYA:Perdagangan borong dan runcit mencatatkan nilai jualan berjumlah RM138.5 bilion, meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun pada Jun 2023.

Bagi prestasi suku tahunan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit berkembang sebanyak 5.7 peratus kepada RM412.4 bilion pada suku tahun kedua.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan pada Jun disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.8 peratus atau RM3.2 bilion kepada RM59.4 bilion.

Beliau berkata, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 3.1 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM62.4 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor yang meningkat 3.4 peratus atau RM600 juta untuk berada pada RM16.7 bilion.

Katanya, pertumbuhan 5.8 peratus bagi perdagangan runcit pada Jun disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang terus menunjukkan trend peningkatan untuk mencatatkan 10.9 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM22.8 bilion.

“Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit bahan api kenderaan (8.5 peratus), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (12.6 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (2.7 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (dua peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (5.8 peratus).

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini melonjak satu peratus dengan hampir semua kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif,” katanya dalam satu kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Mohd Uzir berkata, “Pertumbuhan 3.4 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Jun didorong oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaran & pembaikan kenderaan bermotor masing-masing dengan 18.3 peratus dan 20 peratus.

“Walau bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor menurun 3.8 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menyusut 1.9 peratus, didorong oleh penurunan jualan kenderaan bermotor sebanyak 4.7 peratus,”katanya.

Loading...
Terkini