comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah penganggur di Malaysia semakin berkurangan

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Bilangan penganggur terus mencatatkan penurunan pada Mei 2023 dengan merekodkan 584,600 orang dengan kadar pengangguran berada pada 3.5 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dari segi prestasi keseluruhan bagi Mei 2023, DOSM melaporkan bahawa pasaran buruh dilihat terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil.

Katanya, ini dicerminkan oleh peningkatan bilangan tenaga buruh berikutan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.

“Bilangan tenaga buruh pada bulan berkenaan terus mencatatkan trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.84 juta orang pada April 2023.

“Kadar penyertaan tenaga buruh Mei kekal pada 70 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” kata DOSM dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mei 2023.

Statistik ini memperihalkan kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh yang dilaksanakan oleh DOSM.

DOSM turut melaporkan bahawa bilangan penduduk bekerja pada Mei 2023 meningkat secara berterusan, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.28 juta orang, berbanding 16.25 juta orang pada April 2023.

“Bilangan penganggur pada bulan itu terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.4 peratus kepada 584,600 orang berbanding 586,900 orang pada April, dengan kadar pengangguran direkodkan 3.5 peratus,” katanya.

Loading...
Terkini