comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kenanga IB optimis terhadap sektor pembinaan, didorong projek mega

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) kekal optimis dengan unjuran sektor pembinaan, didorong pelancaran projek infrastruktur mega yang akan datang seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 dan inisiatif tebatan banjir.

Bank pelaburan itu yang mengekalkan saranan “wajaran tinggi” terhadap sektor itu, berkata  sektor swasta mewujudkan pekerjaan, disokong oleh pelaburan besar dalam faundri semikonduktor baharu dan pusat data, yang akan turut memperkukuh sektor itu.

“Kontraktor dalam penilaian kami mencatat prestasi suku pertama yang cemerlang pada 2024, dengan pencapaian sama ada menepati atau melebihi jangkaan kami.

“Pendapatan sektor ini sewajarnya bertambah baik sepanjang tahun seiring dengan kemajuan kerja dan projek baharu,” kata Kenanga IB dalam nota hari ini.

Sebagai tambahan kepada projek yang dinyatakan, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dilaporkan berkata republik itu terbuka kepada idea baharu, termasuk membabitkan cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Ia akan dibincangkan dalam sesi Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kali ke-11 yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

Dalam sidang media bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya semalam, Wong berkata Singapura akan mengambil kira perkembangan mengenai perbincangan berkaitan yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara.

Menurut Wong, sudah pasti, sepanjang perbincangan itu akan terdapat idea-idea baharu yang timbul dan Singapura terbuka untuk mendengar pandangan Malaysia sekiranya terdapat cadangan berkaitan HSR.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini