comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kenanga Research: BNM ada rasional kukuh kekal OPR pada 3.0 peratus menjelang 2024

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai rasional kukuh untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil pada 3.0 peratus menjelang 2024 dan berkemungkinan selepas tempoh itu, tanpa mengambil kira cabaran luar jangka.

Kenanga Research dalam nota penyelidikan hari ini berkata pandangan berkenaan adalah berdasarkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan bank pusat utama lain akan mengekalkan kadar dasar semasa untuk tempoh lebih lama berikutan inflasi tinggi yang berterusan.

“Kami menjangkakan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat sehingga menyebabkan ketidaktentuan makroekonomi yang kian bertambah, berupaya menyuramkan isyarat pemulihan yang kelihatan dalam perdagangan dan pertumbuhan global. Ini akan menguatkan pendirian dasar semasa BNM meskipun untuk tempoh lebih lama.

“Selain itu, ada justifikasi dalam peralihan dasar berikutan keyakinan bahawa ia telah memuktamadkan kitaran normalisasi kadarnya, satu keputusan yang diperlihatkan oleh isyarat yang berlaku bagi meredakan tekanan inflasi.

Menurut firma penyelidikan itu, situasi ini akan mengawal sebarang kecenderungan untuk menaikkan kadar faedah dan memberi peluang kepada BNM memberi tumpuan untuk memperkukuh kestabilan kewangan ketika berdepan dengan ketidaktentuan luaran.

Maybank Investment Bank dalam nota berasingan pula berkata Pernyataan Dasar Monetari terkini oleh bank pusat memaparkan bahawa BNM menyifatkan risiko peningkatan dan penurunan terhadap pertumbuhan dan inflasi adalah seimbang.

“Kami menjangkakan OPR kekal pada 3.0 peratus pada 2024 berikutan ramalan semasa kami bahawa terdapatnya peningkatan sederhana dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 4.4 peratus dan kadar inflasi pada 3.0 peratus,” katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan BMI yang juga unit Fitch Solutions berpandangan bahawa bank pusat akan mengambil langkah berwaspada apabila melonggarkan dasar monetari dengan lebih awal.

Loading...
Terkini