comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Keuntungan bersih suku pertama Sime Darby turun 12.3% kepada RM207 juta 

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Bhd turun sebanyak 12.3 peratus kepada RM207 juta dalam Suku Pertama berakhir 30 Sept, 2022 daripada RM236 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas terutamanya disebabkan oleh keuntungan rendah daripada segmen motornya, kos kewangan tinggi dan kerugian daripada operasi yang ditamatkan.

Bagaimanapun, hasil kumpulan bagi Suku Pertama naik 14.5 peratus kepada RM12.18 bilion, berbanding RM10.64 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata perniagaan perindustrian mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan peningkatan 35 peratus dalam Suku Pertama.

Ini disebabkan terutamanya permintaan tinggi terhadap bahagian-bahagian dengan penerimaan kerja penyenggaraan tertunggak pelanggan dan harga bahagian-bahagian yang tinggi di Australasia.

“Kita juga melihat sumbangan positif daripada Salmon Australia, perniagaan sewa peralatan yang kami baru sahaja ambil alih setahun lalu.

“Ini merupakan bukti kepada pelan penciptaan nilai kami, yang terus membuahkan hasil ketika kami mengukuhkan bahagian perindustrian kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffri berkata bahagian motor menerima kesan daripada sentimen pasaran yang membawa kepada margin rendah bagi kuantiti lebih tinggi.

Bagaimanapun, keputusan yang bertambah baik di Malaysia dan Australasia dapat membantu mengurangkan impak dari China.

Menurutnya, prestasi Malaysia disokong oleh serahan kereta yang ditempah semasa pengecualian cukai jualan, manakala operasi di Australasia kembali mencatatkan operasi normal dengan mencatatkan keputusan yang bertambah baik berbanding suku yang sama tahun sebelumnya yang menerima kesan daripada sekatan COVID-19.

Mengenai prospek masa depan, beliau berkata tahun kewangan 2023 dijangka menjadi lebih mencabar.

“Melihat kepada prospek positif pada masa depan, bagi perniagaan motor, kami akan terus menyerahkan tempahan tertunggak di Malaysia sehingga suku ketiga tahun kewangan 2023.

“Kami akan terus melabur dan mengembangkan rangkaian jualan kami bagi perniagaan motor dan perindustrian serta giat melihat peluang penggabungan dan pengambilalihan untuk meluaskan capaian perniagaan teras kami,” katanya.- BERNAMA

Loading...
Terkini