comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Penguasaan pasaran Sime Darby bakal lonjak lebih 50%, tanggungjawab nasional peralihan EV

Oleh : Afrina Romzi

PETALING JAYA: Pengambilalihan UMW Holdings Bhd oleh Sime Darby Bhd bakal membentuk gergasi besar automotif negara, dengan anggaran penguasaan pasaran lebih 50 peratus oleh Sime Darby.

Penganalisis Automotif, Shamsul Yunos, berpendapat Sime Darby bakal memikul tanggungjawab besar untuk meningkatkan industri automotif negara ke arah peralihan kepada kenderaan elektrik (EV).

“Dengan keputusan untuk membeli saham besar dalam UMW, Sime Darby telah angkat tangan dan bersetuju untuk menjadi pemimpin industri automotif Malaysia dan saya rasa itu satu tanggungjawab yang sangat berat.

“Saya berharap mereka mempunyai perancangan yang bagus untuk menjadi satu konglomerat yang boleh memimpin industri automotif masuk ke zaman EV dengan lebih teratur dan berdaya saing,” katanya kepada BuletinTV3.

Dilaporkan, Sime Darby melaksanakan perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk mengambil alih pegangan PNB dalam UMW Holdings. Sime Darby akan membeli 61.2 peratus saham PNB dengan bayaran tunai keseluruhan RM3.57 bilion atau RM5 setiap saham, mengikut terma perjanjian.

Syarikat juga akan membuat tawaran umum untuk 38.8 peratus saham yang tidak dimilikinya dengan tujuan untuk menyahsenaraikan UMW dari Bursa Malaysia.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pengambilalihan UMW akan meningkatkan keuntungan bersih Sime Darby sebanyak 10 hingga 15 peratus. Ia juga akan meningkatkan penguasaan pasaran daripada satu digit kepada lebih 50 peratus.

“UMW kini didagangkan pada RM4.78 sesaham dan Sime Darby menawarkan RM5 sesaham untuk pemegang saham minoriti UMW, iaitu sekitar empat hingga lima peratus melebihi nilai pasarannya,” katanya kepada BuletinTV3.

Rakuten juga percaya pengambilalihan ini akan mengukuhkan industri automotif di Malaysia dan menyuntik sentimen positif terhadap sektor automotif di Bursa Malaysia.

Loading...
Terkini