comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Konsortium Korea Selatan bakal melabur di Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sebuah konsortium syarikat dari Korea Selatan sedang dalam proses membuat keputusan pelaburan terakhirnya untuk melabur dalam sektor hidrogen di Malaysia bagi beberapa tahun akan datang, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, berkata pihak yang berminat menyatakan hasrat mereka untuk datang ke Malaysia dan melabur dalam membina infrastruktur untuk pengeluaran hidrogen negara.

Beliau berkata, peneraju pelaburan dalam sektor tenaga hidrogen adalah sebahagian daripada pelaburan berpotensi bernilai RM24 bilion semasa misi perdagangan dan pelaburan (TIM) baru-baru ini yang diketuai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Korea Selatan.

“Memandangkan negeri Sarawak sudah memulakan tumpuannya kepada ekonomi hidrogen…wujud daya tarikan yang sangat positif terutamanya dari Korea Selatan, Jepun dan negara lain yang mempunyai teknologi dan berminat untuk melabur di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Seminar Ekonomi Hidrogen di sini, hari ini.

Semasa TIM baru-baru ini, beliau berkata terdapat sebuah konsortium terdiri daripada dua hingga tiga syarikat Korea Selatan yang bekerjasama dan menunjukkan minat mereka untuk melabur di Malaysia khususnya di Sarawak.

“Ini bukan bagi tempoh jangka panjang tetapi dalam tempoh terdekat, antara dua hingga tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong dalam ucapan pada majlis itu berkata, MITI bersedia untuk membabitkan diri dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengenal pasti insentif dan kemudahan yang sesuai untuk menarik pelaburan dalam pengeluaran hidrogen, infrastruktur dan pembangunan ekosistem.

Beliau berkata, ia termasuk pelepasan cukai, elaun modal, bantuan kewangan serta penyelidikan dan pembangunan yang akan memudahkan peralihan negara kepada ekonomi hidrogen.

“Ekonomi hidrogen berada pada peringkat permulaan. Memandangkan masih terlalu banyak yang tidak diketahui, terdapat banyak peluang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Arham berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama-sama Pusat Nanoteknologi Kebangsaan sedang merangka Strategi Hidrogen Kebangsaan.

“Apabila dipersetujui dan dilaksanakan, MITI akan membabitkan diri dengan pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Chin Tong turut merasmikan pelancaran keahlian Persatuan Tenaga Hidrogen Malaysia (MAHE) kepada penggiat industri, membolehkan pihak berkepentingan bertukar pandangan dan memberikan input serta menyokong cadangan dasar berkaitan ekonomi hidrogen.

Persidangan bertemakan ‘Ekonomi Hidrogen – Membina ekosistem yang mampan dalam membentuk masa depan tenaga, bahan dan infrastruktur’ itu bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam ekonomi hidrogen bagi menyokong agenda kerajaan dalam menarik pelaburan yang berkualiti dan mampan.—BERNAMA

Loading...
Terkini