comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Projek berkaitan ECRL tingkat aktiviti sosioekonomi pelbagai sektor

KUALA LUMPUR: Laluan Rel Pantai Timur- Projek Pemecut Ekonomi (ECRL-EAP) dijangka meningkatkan aktiviti sosioekonomi dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, pelancongan, perdagangan dan pembanguan perindustrian, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

ECRL-EAP ialah projek infrastruktur yang bermula pada April 2019 dengan kerjasama MIDA dan China Communications Construction Company (CCCC).

MIDA berkata, ECRL menawarkan banyak peluang kepada syarikat tempatan dan menjadi satu kerugian besar sekiranya ia tidak dimanfaatkan.

Menurutnya, memandangkan projek itu adalah yang terbesar pernah dilaksanakan di sepanjang penjajaran Pantai Timur, ia merupakan satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh syarikat.

“Bidang yang boleh diteroka dengan lebih lanjut, sebagai pemboleh EAP, adalah pembinaan (produk dan perkhidmatan); tenaga boleh baharu, produk dan perkhidmatan kemampanan; pendidikan dan pusat latihan; perkhidmatan utiliti seperti pengurusan sisa buangan dan penyelidikan dan pembangunan.

“Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan baharu di setiap EAP,” kata agensi itu kepada Bernama.

MIDA juga berkata, kejayaan pelaksanaan ECRL memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan tempatan, pemain utama pengangkutan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), institusi kewangan dan masyarakat tempatan.

“MIDA teruja untuk menyokong perniagaan yang mengintai pelaburan ECRL-EAP. Ini akan meningkatkan daya tarikan projek untuk pelabur. Usaha ini penting dalam mengekalkan kelebihan berbanding inisiatif saingan lain seperti cadangan projek Jambatan Kra Land Thailand.

“Kami menyeru lebih banyak syarikat untuk bergabung tenaga dengan kerajaan melalui MIDA, memperkasakan inisiatif inovatif ini,” katanya.

MIDA juga akan mempromosikan program berkaitan dengan ECRL-EAP di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.Agensi itu juga telah memulakan libat urus dengan pihak berkepentingan utama termasuk kerajaan tempatan, persatuan industri, pengurus dan pemaju taman, GLIC dan amanah pelaburan hartanah untuk meningkatkan kesedaran tentang EAP dan menjangkau khalayak yang lebih luas dalam kalangan bakal pelabur.

“Penyertaan daripada semua pihak berkepentingan adalah sangat penting. Isu seperti cabaran alam sekitar, seperti banjir, infrastruktur, kesediaan utiliti, sekatan pengezonan dan pengkategorian tanah, telah dikenal pasti.

“Untuk menangani cabaran ini, MIDA sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama seperti penyedia utiliti, kerajaan negeri, persatuan dan pemaju, dan pihak berkepentingan utama lain untuk memastikan isu itu ditangani dan persekitaran pemboleh disediakan bagi pembangunan dan pelaburan di sepanjang laluan,” katanya.

MIDA, melalui platform penyelarasan pelaburan domestik (DICP), yang terletak di bawah bahagian pelaburan domestik, memainkan peranan dalam menghubungkan pelabur dengan pembiaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini