comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

KUSKOP cadang bangunkan pusat pengedaran perkasa eksport PMKS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. – Foto fail NSTP 

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bercadang untuk membangunkan pusat pengedaran bagi beberapa zon di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam usaha memperkasakan eksport produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata dalam perkara itu UDA Holdings Berhad (UDA) akan memainkan peranan menjaga kawalan kualiti termasuk aspek pembungkusan, pelabelan, logistik dan pemasaran bagi setiap produk dan perkhidmatan yang ingin dipasarkan.

“Kita sudah cadangkan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan seterusnya dalam Belanjawan tahun hadapan…antara cadangan utama kita adalah untuk bangunkan pusat pengedaran atau distribution center bagi zon iaitu empat di semenanjung dan masing-masing sebuah pusat di Sabah dan Sarawak.

“Kenapa penting syarikat berorientasikan eksport kerana kalau kita lihat sumbangan nilai eksport di kalangan PMKS pada tahun lepas menyumbang RM144.5 bilion atau lebih 10 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negara…bererti selain syarikat pemula dan PKS, usahawan kecil juga menyumbang kepada nilai eskport, kerana itulah ia perlu diperkasakan lagi,” katannya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Ewon berkata PMKS telah menyediakan 48 peratus pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam sektor guna tenaga.

“Pada saya apabila kita membawa keluar produk dan mendapat kerjasama strategik daripada syarikat dari negara lain maka akan ada lebih ramai rakyat Malaysia bekerja untuk menambah produktiviti dan pengeluaran produk, jadi di sini akan wujudnya sumber pendapatan dan dapat menoktahkan kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, KUSKOP juga bercadang mewujudkan Gerakan Koperasi dengan memberi subsidi pengangkutan kargo barangan bagi mengurangkan jurang harga barang keperluan harian di Sabah dan Sarawak.

“Melalui gerakan ini harus ada subsisidi pengangkutan kargo barangan dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kota Kinabalu dan Pelabuhan Kuching supaya bahan keperluan asas harian rakyat di Malaysia Timur boleh menikmati harga hampir sama atau sama dengan harga di Semenanjung.

“Kita sudah cadangkan kepada Perdana Menteri dan akan disusuli dengan libat urus bersama Kementerian Kewangan agar cadangan ini dapat dimasukkan dalam Belanjawan MADANI akan datang,” katanya.

— BERNAMA

Loading...
Terkini