comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lapangan terbang Malaysia rekod 6.7 juta pergerakan penumpang Mac 2023 – MAHB

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jumlah pergerakan penumpang Malaysia meningkat sebanyak 15 peratus kepada 6.7 juta pada Mac 2023 daripada angka pada bulan sebelumnya, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam kenyataan pada Rabu, pengendali lapangan terbang itu menjelaskan kenaikan itu didorong oleh penyambungan semula pelbagai laluan penerbangan pada bulan itu susulan permintaan perjalanan yang terus meningkat di rantau ini.

Pengarah Urusan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata penyambungan semula operasi serta laluan syarikat penerbangan secara aktif di lapangan terbang di seluruh negara terus memberikan keyakinan mengenai permintaan perjalanan.

Beliau juga menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan baharu akan terbang ke Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

“Syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia, TransNusa Airlines baru-baru ini membuat penerbangan antarabangsa sulungnya ke Kuala Lumpur dari Jakarta bulan ini, syarikat ini pada mulanya hanya menawarkan laluan domestik di Indonesia.

“TransNusa ialah syarikat penerbangan kesembilan yang menyediakan operasi di antara Kuala Lumpur dengan Jakarta, membuktikan populariti dan permintaan tinggi bagi laluan ini,” katanya.

Menurut MAHB pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik di Malaysia terus meningkat dengan stabil pada Mac 2023, masing-masing mencatatkan tiga juta dan 3.7 juta penumpang.

Kedua-dua sektor ini menunjukkan peningkatan pergerakan penumpang masing-masing sebanyak lebih 10 peratus daripada angka bulan sebelumnya.

Jumlah pergerakan penumpang di Malaysia tahun ini setakat Mac 2023 adalah 18.7 juta, meningkat 125 peratus daripada 8.3 juta penumpang dalam tempoh yang sama pada 2022.

Mengenai aset di Turkiye, MAHB memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA) merekodkan 2.8 juta penumpang pada Mac, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Jumlah pergerakan penumpang antarabangsa pula 1.5 juta, manakala jumlah pergerakan penumpang domestik pada 1.3 juta penumpang.

BERNAMA

Loading...
Terkini