comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

LHDN kenal pasti individu, syarikat terlibat dalam dagangan wang kripto

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Program Tax Corporate Governance (TGC) di Putrajaya.

Oleh: Nurin Farhana Rishdy

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang terlibat dalam transaksi perdagangan mata wang kripto dalam mengurangkan ketirisan hasil cukai dan menambah baik pentadbiran cukai negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata pihaknya sedang menyemak semula data-data pihak terbabit bagi menentukan nilai cukai yang mungkin dikenakan berikutan dari kekerapan transaksinya yang tinggi.

“Kita tahu bahawa dalam sesuatu keadaan jika jumlah transaksi adalah tinggi dan sebagainya, apa-apa daripada keuntungan kripto ini juga tertakluk kepada cukai,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya, individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto dalam negara adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia.

Ini khususnya kepada individu atau syarikat yang melibatkan perdagangan mata wang kripto dengan  jumlah keuntungan yang tinggi serta kekerapan transaksi yang banyak.

Dalam pada itu, Abu Tariq menggesa orang ramai untuk menghubungi LHDN untuk mengenal pasti aktiviti perniagaan dalam talian yang dikenakan cukai atau sebaliknya.

“Kita telah pun mengeluarkan kenyataan sebelum ini berkenaan garis panduan tersebut. Namun, bagi individu yang ingin mendapatkan kepastian sama ada mereka dikenakan cukai ataupun tidak, kami syorkan untuk menghubungi pihak kami,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Program Tax Corporate Governance LHDN hari ini.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa  program Tax Corporate Governance (TCG) dapat meningkatkan pemahaman tentang peraturan cukai yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan dan mengukuhkan sistem dalaman syarikat bagi memastikan pematuhan cukai secara berterusan.

Loading...
Terkini