comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MAHB kembali untung suku ketiga selepas rugi setahun lalu

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM94.76 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 berbanding kerugian bersih RM9.04 juta disebabkan hasil yang meningkat dan keuntungan daripada syarikat-syarikat bersekutu dan usaha sama serta kos kewangan yang lebih rendah.

Hasil meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM863.61 juta, dipacu oleh jumlah penumpang yang lebih tinggi.Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata prestasi yang lebih baik itu disumbangkan oleh pengembangan laluan syarikat penerbangan, penyambungan semula trafik penerbangan di Asia utara, pelancaran operasi syarikat penerbangan baharu, perjalanan musim panas dan beberapa siri cuti umum serta cuti sekolah.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, bagi suku ke suku, hasil daripada operasi lapangan terbang pada suku ketiga melonjak 49.7 peratus daripada RM799.3 juta kepada RM1.2 bilion, manakala pendapatan segmen aeronautik meningkat daripada RM449.8 juta kepada RM701.8 juta di tengah-tengah pemulihan dalam trafik penerbangan.

MAHB berkata, bilangan penumpang bagi kumpulan itu mencecah 32.7 juta daripada 24.1 juta pada suku yang sama tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, trafik untuk operasi Malaysia berjumlah 21.8 juta penumpang, lebih tinggi berbanding 15 juta penumpang pada suku yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, hasil segmen bukan aeronautik meningkat daripada RM349.5 juta kepada RM494.5 juta, sebahagian besarnya disebabkan sumbangan lebih baik daripada hasil komersial melalui operasi di Malaysia dan di Türkiye.

MAHB berkata, hasil daripada operasi bukan lapangan terbang meningkat daripada RM64.3 juta kepada RM79.9 juta disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada projek dan pembaikan penyelenggaraan serta perniagaan hotel.​”Secara keseluruhannya, operasi Malaysia mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 61.8 peratus daripada RM472.4 juta kepada RM764.5 juta.

“Manakala, operasi Türkiye dan Qatar masing-masing mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 32.8 peratus daripada RM365.8 juta kepada RM485.9 juta dan sebanyak 2.0 peratus daripada RM25.4 juta kepada RM25.9 juta,” katanya.​

Loading...
Terkini