comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia bakal menjadi destinasi optimum pelabur global, tempatan

NIMP 2030 akan berfungsi sebagai pemboleh utama bagi Ekonomi MADANI. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pendekatan pelbagai aspek yang direncanakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilihat akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi optimum untuk pelabur global dan tempatan, demikian menurut penganalisis.

Malah, pelan induk itu juga akan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

Penganalisis Public Investment Bank, Sabrina Edora, berkata berbanding pelan tindakan sebelumnya, NIMP 2023 menampilkan peralihan ketara daripada pendekatan berteraskan sektor kepada rangka kerja berasaskan misi yang dinamik.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan misi yang berbeza menandakan anjakan paradigma penting yang berpotensi untuk membentuk semula sektor pembuatan Malaysia.

Katanya, ditunjangi oleh empat misi utama dan diperkukuh oleh pemacu, pelan tindakan strategik itu merangkumi pelaksanaan 21 strategi dan 62 pelan tindakan yang teliti.

“Kami percaya bahawa pendekatan pelbagai aspek meletakkan Malaysia sebagai destinasi optimum untuk pelabur global dan tempatan, memupuk persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sabrina berkata, transformasi yang ditampilkan dalam NIMP 2030 adalah sejajar dengan visi dan objektif Ekonomi MADANI.

Beliau berkata, dengan mengguna pakai strategi yang merangkumi penambahan kerumitan ekonomi, pengukuhan hubungan industri domestik, dan meningkatkan kedudukan global industri Malaysia dalam rantaian nilai, NIMP 2030 berhasrat untuk meningkatkan kapasiti dan daya tahan industri Malaysia, sekali gus memupuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

“NIMP 2030 akan berfungsi sebagai pemboleh utama bagi Ekonomi MADANI.

Dengan memperjuangkan kemajuan kerumitan ekonomi dan inisiatif transformatif lain, NIMP 2030 bersedia untuk memangkin jalan baharu untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Sabrina berkata, NIMP 2030 juga bersedia untuk bertindak sebagai pemangkin pemacu kepada negara ke arah status negara maju.

Loading...
Terkini