comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Malaysia berjaya raih potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion setakat Mac 2024 – PM Anwar

 

PUTRAJAYA: Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion setakat Mac ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata angka tersebut merupakan hasil kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara di Australia, Jerman dan Perancis.

Menurutnya, sambutan yang diberikan oleh negara-negara tersebut amat luar biasa dan ia adalah permulaan baharu bagi negara.

“Ini…(hasil) persiapan awal yang telah dilakukan oleh rakan-rakan kita di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Luar serta agensi kerajaan lain termasuklah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.

“Umpamanya cip komputer, kita sudah lihat ia mampu diiktiraf sebagai tarikan pelaburan pertama di Asia dan ini bukan perkara yang mudah,” kata beliau pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau berkata ini adalah hasil usaha kerajaan dalam menstabilkan politik dan mendapat kerjasama daripada penjawat awam serta matlamat dan dasar negara yang jelas.

“Kejelasan dalam dasar ekonomi kita (penting), yang akan membantu dan memberikan harapan baharu kepada kita.

Beliau berkata Jerman mempunyai ekonomi yang kukuh dan merupakan ekonomi ketiga terbesar dunia.

“Sambutan yang diberikan kepada kita sebagai sebuah negara kecil amat membanggakan,” katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Malaysia berjaya mencapai potensi pelaburan baharu bernilai RM45.4 bilion hasil lawatan Anwar ke Jerman baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menekankan masih terdapat ruang untuk diperbaiki, termasuklah dari segi kelulusan projek tidak dilewatkan.

“Kita juga bersyukur kerana majoriti penjawat awam masih mempunyai integriti dan mempunyai semangat untuk memperbaiki (mutu kerja).

“Kita perlu mengekalkan usaha sedemikian dan jika kita dapat meningkatkannya, saya fikir dalam tempoh dua atau tiga tahun, wajah Malaysia akan berubah,” kata beliau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini