comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia sertai BRICS dilihat langkah strategik dedolarisasi – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada keanggotaannya dalam organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), termasuk akses kepada pasaran luas dengan populasi terbesar dunia berserta kuasa beli penduduknya yang meningkat, kata penganalisis.

Keanggotaan dalam BRICS dilihat akan membuka peluang untuk mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) atau ‘dedolarisation’ dengan mengguna pakai mata wang tempatan antara negara dalam perdagangan.

Malah, penganalisis berpendapat hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS juga memastikan suara dalam perancangan ekonomi, politik, dan sosial negara di tengah dominasi ekonomi dan politik Barat.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata hasrat Malaysia adalah selari dengan jiran di ASEAN iaitu Indonesia dan Thailand yang terlebih dulu mengemukakan permohonan masing-masing kepada gabungan BRICS.

Beliau berkata, sebagai blok ekonomi yang lebih besar dari ASEAN, BRICS juga mempunyai kekuatan geopolitik yang tersendiri terutama dalam mengimbangkan dengan pengaruh Amerika Syarikat (AS) yang menerajui Kumpulan Tujuh (G7) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang turut bersekutu dengan Kesatuan Eropah (EU).

“BRICS menyediakan Malaysia dengan pasaran yang besar dengan populasi terbesar dunia, tambahan lagi kuasa membeli pengguna yang semakin meningkat.

“Saiz ekonomi BRICS yang lebih besar dan sedang bersaing dengan G7 yang menguasai dunia pada masa ini,” katanya kepada BH mengulas mengenai manfaat Malaysia menyertai BRICS.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, secara logiknya China adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan contohnya, pada 2023, jumlah dagangan mencecah RM450.84 bilion, menjadikan China sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-15 berturut-turut.

Selain itu, beliau berkata, China dan India adalah pasaran terbesar minyak sawit Malaysia, dengan perangkaan menunjukkan India adalah pengimport utama minyak sawit, menyumbang AS$11.7 bilion pada 2022, diikuti oleh China.

Tambahnya, India juga mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran eksport minyak sawit Malaysia terbesar pada 2023 untuk tahun ke-10 berturut-turut sejak 2014, dengan 2.84 juta tan atau 18.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia.

Aimi Zulhazmi juga berpendapat, pengurangan pergantungan kepada penggunaan dolar AS juga boleh diperluas melalui BRICS.

Beliau berkata, BRICS menganjurkan pengurangan pergantungan kepada penggunaan dolar AS yang dipanggil ‘dedolarisation’ dan lebih kepada pertukaran mata wang negara yang berdagang.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi telah pun dimulakan oleh Malaysia sendiri dengan menggunakan ringgit ditukarkan dengan baht, rupiah Indonesia mahupun renminbi China.”

Jadi ini boleh diperluaskan lagi melalui BRICS iaitu mengurangkan penggantungan kepada penggunaan dolar AS,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini