comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Malaysia sukar elak kebergantungan kepada dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia sukar untuk mengelak daripada bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat kerana statusnya sebagai mata wang global yang sudah kukuh sejak berdekad lamanya, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata adalah masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai proses untuk menggantikan dolar AS sebagai mata wang perdagangan komoditi atau penyahdolarisasi (dedollarisation), memandangkan statusnya sebagai mata wang utama global tidak boleh dihapuskan dengan mudah.

“Legasi yang dibina selama beberapa dekad dan sudah memberikan keyakinan kepada peniaga dan pelabur. Untuk mata wang global alternatif mengambil alih, ekonomi yang kukuh, pasaran kewangan yang cair dan terbuka serta peraturan yang boleh dipercayai diperlukan.

“Ini juga berlaku untuk fungsi utama wang yang lain sebagai instrumen rizab mata wang asing dengan bank pusat, iaitu kira-kira 60 peratus daripada rizab pertukaran asing dunia, yang berjumlah kira-kira AS$11 trilion, masih dalam denominasi mata wang dolar AS.

“Penyahdolarisasi pasti akan berlaku satu hari nanti, tetapi tidak akan berlaku dalam masa terdekat,” katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi menjelaskan, proses penyahdolarisasi pada masa adalah hasil reaksi majoriti negara di dunia yang mengurangkan penggunaan dolar AS sebagai mata wang global dalam perdagangan antarabangsa seterusnya membentuk landskap baharu ekonomi global.

Sementara itu, Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penyahdolarisasi akan mengambil sedikit masa kerana pertama, negara yang terbabit perlu bersetuju dengan mata wang mana yang akan menjadi pilihan dan sama ada ketersediaan mata wang terbabit sudah mencapai skala yang betul.

“Sebagai contoh, akaun modal China masih ditutup. Ini akan menjadikan ketersediaan yuan boleh menjadi agak terhad.

“Oleh itu, penyahdolarisasi adalah satu perkara yang berterusan dan ia akan mengubah landskap pasaran mata wang,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini