comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MAVCAP mahu jadikan Malaysia hab VC utama serantau

KUALA LUMPUR: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) komited untuk menjadikan Malaysia sebagai hab modal teroka (VC) utama di rantau ini menjelang 2030 menerusi Pelan Hala Tuju VC Malaysia (MVCR).

Ketua Pegawai Pelaburan MAVCAP, Paramjit Singh, berkata MVCR digagaskan bagi membolehkan syarikat pemula niaga mendapat akses menyeluruh daripada VC seterusnya berkembang ke peringkat berikutnya.

Katanya, dengan 11 intervensi komprehensif untuk memperkukuh ekosistem VC di Malaysia, negara dilihat memiliki keupayaan menandingi negara utama lain seperti Singapura dan Korea Selatan yang memiliki platform terbaik untuk VC.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah memberi tanggungjawab dan mandat untuk MAVCAP untuk memacu sistem VC di Malaysia untuk menyediakan modal daripada pihak swasta.

“Ia akan membabitkan ekosistem menyeluruh tidak hanya membabitkan VC, malah merangkumi peraturan dan kawal selia unntuk menarik lebih banyak penyertaan penyedia VC asing ke Malaysia.

“Malaysia berada pada kedudukan kedua di ASEAN selepas Singapura daripada aspek ekosistem VC dan kita sedang berusaha melihat struktur negara utama lain termasuk Korea Selatan untuk mewujudkan ekosistem lebih mantap,” katanya kepada media selepas menyampaikan taklimat mengenai MVCR bersempena Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, hari ini.

Paramjit berkata, MAVCAP sedang berusaha membina kapasiti untuk bergerak ke hadapan dengan memiliki strategi untuk menggandakan perbelanjaan modal teroka daripada 0.19 peratus kepada kepada 0.35 peratus menjelang 2030.

Katanya, MAVCAP menyediakan rangka kerja untuk meyokong fasa kritikal bagi memiliki perundangan yang lebih mesra pelabur untuk menarik mereka syarikat asing memilih Malaysia sebagai destinasi VC.

“Kita perlu memudahkan lagi pergerakan keluar masuk pelabur VC ke Malaysia. Ketika ini, Malaysia sebagai antara negara yang mesra pelabur VC, tetapi kita mahu memudahkan lagi urusan mereka sebagai mana negara utama seperti Singapura, Korea Selatan atau United Kingdom (UK).

“Kita juga perlu membina kapasiti untuk memacu pembangunan ekosistem,” katanya.

Beliau menjelaskan, dengan MVCR, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan antara 15 hingga 22 peratus jumlah VC di Malaysia berbanding 116 pada 2022, selaras dengan peningkatan profesional tempatan dan asing VC.

“Tiga tonggak menjadi tumpuan kami iaitu pendanaan, perubahan kawal selia dan pembinaan kapasiti yang mana akan dilaksanakan menerusi tiga strategi iaitu meningkatkan kemudahan untuk menjalankan perniagaan, akses pendanaan lebih baik dan meningkatkan bakat VC tempatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini