comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] MAVCOM arah MYAirlinebayar balik tiket pengguna

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengarahkan syarikat tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) segera menguruskan pengguna yang terjejas selepas mengumumkan menggantung operasinya mulai hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAVCOM berkata, MYAirline masih bertanggungjawab untuk membayar balik pengguna yang sudah membeli tiket dengan syarikat penerbangan itu walaupun menggantung operasi penerbangannya.

Pada masa sama, MACVCOM turut meminta pengguna terjejas yang telah membuat tempahan dengan MYAirline untuk penerbangan pada 12 Oktober dan ke atas supaya menghubungi saluran aduan khusus syarikat penerbangan itu untuk pertanyaan dan bantuan berkenaan dengan tempahan mereka.

Talian dan saluran khusus untuk membantu pengguna yang terjejas untuk pertanyaan dan bantuan berkenaan dengan tempahan mereka menerusi talian pengguna MAVCOM :1800-18-6966 (Dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (Luar Malaysia) atau melalui emel [email protected] dan borang web aduan FlySmart boleh didapati di https://flysmart.my/make-a-complaint/.

Selain itu, aplikasi mudah alih FlySmart juga boleh dimuat turut daripada gedung Google Play dan Apple App store untuk pengguna Android dan iOS masing-masing.

Menurut kenyataan itu lagi, MAVCOM juga mengarahkan MYAirline untuk menghentikan serta-merta penjualan dan tempahan penerbangan dari semua platform tempahan sehingga notis selanjutnya.

“MAVCOM sedang menyiasat syarikat penerbangan itu berdasarkan semakan dalaman dan aduan yang diterima mengenai pembayaran berkanun syarikat penerbangan yang belum dibayar kepada pekerjanya.

‘MAVCOM akan menyediakan perkembangan lanjut berkaitan operasi MYAirline dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini syarikat penerbangan tambang murah MyAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini