comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Mewajibkan bayaran elaun akan buatkan majikan sektor swasta keberatan mengambil pelatih – MEF

KUALA LUMPUR:Cadangan untuk mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta akan membuatkan majikan dalam sektor ini merasa keberatan untuk menawarkan latihan kepada mereka, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam kenyataan hari ini berkata daripada mewajibkan majikan membayar elaun latihan amali, kerajaan sebaliknya harus memberi pertimbangan untuk memberi lebih banyak insentif kepada majikan bagi mengambil lebih ramai pelatih, dan kemudiannya boleh mewajibkan semua pelajar menjalani latihan amali (internship) berkenaan.

Beliau berkata latihan amali ialah peluang untuk pelajar atau graduan baharu memperoleh pengalaman industri berharga yang akan membantu dalam memudahkan mereka mendapat pekerjaan.

“MEF berpandangan bahawa majikan harus membayar elaun latihan mengikut budi bicara mereka. Majikan yang mengambil pelatih dinasihatkan untuk membayar sedikit elaun kepada pelatih berkenaan, dan bayaran itu perlu mengambil kira peningkatan kos sara hidup yang dihadapi mereka.

“Kenyataan secara umum bahawa pihak industri tidak memberi elaun kepada pelatih, adalah tidak adil kepada majikan,” katanya.

Ketika ini syarikat-syarikat swasta yang mengambil pelatih untuk menjalani latihan industri membayar elaun mengikut budi bicara mereka, dengan purata elaun di bandar-bandar besar untuk pelatih adalah kira-kira RM1,200, tetapi ada juga pelatih yang diberi elaun kurang daripada RM1,000 sebulan.

Pada masa yang sama, ada juga beberapa syarikat besar membayar lebih tinggi daripada RM1,200 sebulan.

Syed Hussain berkata sebenarnya majikan perlu melaksanakan begitu banyak perancangan bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran dapat dipindahkan kepada pelatih.

“Apa yang industri lakukan untuk pelatih seharusnya dihargai, dan pihak berkepentingan perlu berterima kasih kepada usaha yang dilakukan oleh industri ini,” katanya.

Loading...
Terkini