comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji perkara sulit, majikan tidak perlu papar julat gaji – MEF

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat, majikan tidak wajar menyatakan skim tangga gaji yang ditawarkan.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ini kerana gaji adalah perkara yang diklasifikasikan sebagai sulit dan tidak perlu dipamerkan kepada umum.

Beliau berkata, salah satu teras dalam kerangka Ekonomi Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk meningkatkan daya saing Malaysia ke tangga ke-12 teratas global.

Katanya, salah satu elemen terpenting di dalam menentukan daya saing sesebuah negara adalah kemudahan untuk berusus niaga.

“Oleh itu dikhuatiri cadangan untuk menggubal undang-undang yang mewajibkan majikan mempamerkan julat gaji di dalam iklan jawatan akan dilihat sebagai tidak mesra pelabur.

“Selain itu, ia juga akan menyukarkan hasrat negara untuk mencapai tanga ke-12 teratas daya saing dunia dalam masa 10 tahun akan datang,” katanya kepada BH.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman mencadangkan kepada kerajaan menggubal Akta Iklan Gaji supaya majikan di negara ini diwajibkan mengiklankan tangga gaji bagi pekerjaan yang ditawarkan.

Beliau dilaporkan berkata, ketika ini majikan tidak diwajibkan berbuat demikian seperti di negara maju lain, sekali gus menyebabkan pekerja termasuk graduan meletakkan tangga gaji yang lebih rendah kerana kekurangan maklumat mengenai pekerjaan yang ditawarkan.

Bagaimanapun, Kementerian Sumber Manusia akan meneliti cadangan penggubalan akta berkenaan.

Menterinya V Sivakumar dilaporkan berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, setiap cadangan yang memberi manfaat kepada rakyat akan diteliti sebaik mungkin.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, walaupun ada sesetengah majikan mempamerkan julat gaji di dalam iklan untuk menarik bakat menyertai majikan, ia tidak akan dapat menyelesaikan isu gaji permulaan yang dikatakan rendah untuk lepasan diploma dan ijazah.

Katanya, ada organisasi berpandangan mendedahkan julat gaji adalah baik kerana ia akan menjelaskan harapan pemohon kerja dan menarik calon yang tepat.

“Sebahagian organisasi lain mungkin berpendapat, perkara berkenaan gaji perlu dibincangkan secara peribadi dan hanya menunjukkan senarai kelayakan serta kemahiran diperlukan untuk menarik calon yang tepat,” katanya.

Justeru beliau berkata, MEF berpendapat terpulang kepada sesebuah organisasi untuk melakukan apa yang menjadi budaya masing-masing asalkan gaji ditawarkan selaras dengan kelayakan mereka.

Katanya, ini kerana pada akhirnya gaji akan ditentukan setelah calon yang tepat dipilih dan dalam kebanyakan kes, mereka akan ditawarkan gaji di dalam julat gaji yang dilaksanakan.

Loading...
Terkini