comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MIHAS 2023 raih jualan 24 peratus lebihi sasaran, RM3.11 bilion

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) edisi ke-19 mencatatkan jualan melepasi sasaran RM3.11 bilion, sekali gus membuktikan ia kekal sebagai platform perdagangan global terulung industri Halal.

Jumlah jualan yang dicatatkan itu melebihi 24 peratus berbanding jumlah yang disasarkan sebanyak RM2.5 bilion.

Pameran Halal terbesar di dunia yang dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia dan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu berlangsung antara 11 hingga 15 September 2023.

Jualan yang dicatatkan itu disumbangkan oleh perjanjian perniagaan yang dimuktamadkan daripada dua program utama MIHAS iaitu International Sourcing Programme (INSP) yang dianjurkan pada 11 September 2023 untuk pengeksport Malaysia dan pameran perdagangan utama membabitkan peserta pameran dari 44 negara berlangsung antara 12 hingga 15 September 2023.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 menyasarkan sumbangan industri sebanyak RM266 bilion atau 11 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

Beliau berkata, dalam mencapainya, pihaknya akan terus membina momentum yang dihasilkan menjelang MIHAS 2023, terutamanya dalam memudahkan akses pasaran untuk pemain industri Halal kepada rantaian bekalan utama di seluruh dunia.

“Pencapaian jualan RM3.11 bilion yang membanggakan, yang melepasi sasaran kami sebanyak 24 peratus, membuktikan MIHAS masih menjadi platform Halal global yang terulung.

“Paling penting, selaras dengan agenda keselamatan ekonomi dan keterangkuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, platform seperti MIHAS juga menyumbang dengan ketara kepada objektif kerajaan untuk mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab Halal di Asia.

“Kami komited untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan memastikan industri Halal terus berkembang maju dengan cara yang bertanggungjawab dan mesra alam,” katanya dalam satu kenyataan.

Loading...
Terkini