comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Teknologi robotik curi tumpuan di MIHAS 2023

FOTO: NSTP

Oleh: Azzarouq Zulkiply

KUALA LUMPUR: Syarikat kecil dan serdahana (PKS) tempatan kini melalui fasa baharu dengan adaptasi teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik dijangka menjadi keperluan di masa hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, AFM Fulfillment, Jookaplee Shaaibon, penggunaan teknologi robotik dapat meningkatkan kecekapan dan operasi perniagaan dan boleh dimanfaatkan PKS tempatan.

Jookaplee Shaaibon, Ketua Pegawai Eksekutif, AFM Fulfillment (M) Sdn Bhd

“Kami komited untuk mengurangkan kadar pertumbuhan yang perlahan dalam sektor ekonomi dengan menyediakan pemilik perniagaan dengan infrastruktur terbaik dan penyelesaian inovatif.

“Penggunaan robot pada hari ini sangat diperlukan dan menggantikan tenaga manusia dengan robot bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi kos efektif dan berfaedah dalam jangka panjang”, kata Jookaplee ketika ditemui di pameran MIHAS 2023.

AFM Fulfillment antara syarikat yang membuat penampilan sulung dalam pasaran halal di MIHAS 2023 dan merupakan finalis untuk anugerah ‘Most Innovative Products and Services’.

Syarikat teknologi tempatan itu juga berhasrat untuk menunjukkan bagaimana penggunaan robot pintar boleh meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kemampanan dalam pengedaran produk halal.

“Selain itu juga kami ingin memenuhi keperluan pelanggan, pemilik perniagaan e-dagang dan pasaran halal di seluruh dunia”, tambahnya.

AFM Fulfillment, antara peserta yang menyertai MIHAS 2023 pada 12 – 15 September lalu

Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 menarik minat syarikat tempatan dan antarabangsa terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) terhadap kerjasama strategik dengan kementerian, agensi, kerajaan negeri dan sektor swasta.

Pameran halal terbesar itu diadakan dari 12 hingga 15 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, sebagai sebahagian acara tahunan serantau dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Antara peserta lain yang menyertai MIHAS 2023 pada 12 – 15 September lalu

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis untuk mencapai sasaran jualan RM2.5 bilion pada MIHAS 2023 bagi edisi tahun ini.

“Bagi MIHAS edisi tahun lalu, unjuran jualan kami ialah RM1.9 bilion tetapi ia melebihi sasaran, mencecah RM2.39 bilion, jadi kami optimis mengenai sasaran baharu tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz pada sidang akhbar di majlis Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) MATRADE, bersempena dengan MIHAS 2023.

Loading...
Terkini