comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Minat melancong rakyat Malaysia kekal tinggi meskipun ekonomi global suram

MATTA mensasar untuk meraih jualan RM400 juta pada MATTA FAIR bagi Mac 2023, sekaligus bakal menjadi kutipan tertinggi pernah dicatatkan persatuan itu.

Oleh Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Persekitaran ekonomi global yang suram selain tekanan inflasi yang masih dirasai tahun ini dilihat tidak menjejaskan minat rakyat Malaysia untuk melancong.

Setiausaha Agung, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong, berkata prospek positif ini disokong pembukaan semula sempadan China, kestabilan politik negara, tambahan penerbangan serta permintaan percutian domestik.

“Terdapat tanda-tanda pemulihan dalam ekonomi yang boleh dilihat terhadap perbelanjaan yang lebih positif oleh pengguna. Jadi kami menjangka perkara ini berterusan sepanjang 2023. Trend perjalanan tidak berubah, malah, (tempahan) penerbangan penuh, dan jika melihat pasaran domestik, rakyat Malaysia telah membiasakan melancong dalam negara sejak dua tahun lalu dan kami menjangka trend ini akan terus meningkat,” katanya pada taklimat media MATTA Fair 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pelancong tempatan juga dilihat tidak akan mengubah pemilihan destinasi dan jenis pakej perlancongan meskipun ada peningkatan inflasi.

Walaupun sempadan antarabangsa telah dibuka, pelancongan domestik juga dijangka akan terus tinggi tahun ini.

Ringgit yang turut menunjukkan pengukuhan sejak kebelakangan ini dilihat tidak memberi kesan ketara untuk pelancong tempatan melancong ke luar negara.

Nilai mata wang tempatan itu sedang berlegar pada paras 4.24 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, MATTA mensasar untuk mencapai jualan RM400 juta dengan 250,000 pengunjung pada pameran MATTA Fair 2023, sekaligus bakal meraih kutipan tertinggi pernah dicatat MATTA.

Ia bermula dari 17 hingga 19 Mac akan datang di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sebelum ini, MATTA Fair bagi September 2022 meraih RM80 juta dengan 43,996 kunjungan.

Loading...
Terkini