comscore
Tumpuan :
Politik

Sertai PBM, bekas timbalan menteri dilantik setiausaha agung

Datuk Masir Kujat.

KUCHING: Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat kini bergelar Setiausaha Agung selepas menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Presiden parti berkenaan, Datuk Larry Sng berkata, bekas Ahli Parlimen Sri Aman itu dilantik ke jawatan berkenaan menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBM yang pertama, baru-baru ini.

“Selain Masir, beberapa profesional Dayak juga telah memohon untuk menyertai PBM. Beberapa lantikan lain telah dibuat dan penstrukturan semula beberapa jawatankuasa negeri telah selesai. PBM bergerak ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PBM dilanda krisis apabila Larry memecat atau menggugurkan sekumpulan pemimpinnya, termasuk bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang sebelum itu dinamakan presiden pengganti.

Timbalan Presiden 1, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi pula dipecat daripada jawatan masing-masing, namun dilaporkan kekal sebagai ahli biasa.

Yang turut dipecat keahlian parti, Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad; bekas Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid; Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari dan Ketua Pemuda, Na’im Brundage.

Selain itu, empat Ahli MT PBM, Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Terdahulu pada 28 Oktober lalu, Larry mengumumkan menggantung keahlian Zuraida dan 12 ahli MT PBM susulan pembabitan berterusan mereka yang didakwa menggugat kepentingan parti dan kepemimpinannya.

Krisis dalaman PBM semakin meruncing selepas Larry sebelum itu mendakwa, beliau masih Presiden PBM dan tidak pernah mengosongkan jawatan itu untuk diisi Zuraida.

Masir meninggalkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 30 Mac tahun lalu dan sejak itu tidak berparti. Beliau sebelumitu menyertai PSB pada Mac 2019 selepas keluar Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Semasa dalam PRS, Masir pernah menjadi Ahli Parlimen Sri Aman selama tiga penggal dari 2008 hingga 2022 dan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2015 hingga 2018.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) 2021, beliau bertanding di Balai Ringin menggunakan tiket PSB, namun kalah kepada penyandang, Datuk Snowdan Lawan dari PRS, yang juga komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau juga gagal dalam percubaannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu apabila ditewaskan oleh muka baharu, Datuk Seri Doris Sophia Brodie, juga dari PRS.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini