comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Misi bersama Indonesia, Malaysia ke EU mengenai EUDR berjaya – CPOPC

KUALA LUMPUR: Misi bersama Malaysia, Indonesia dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sebagai berjaya.

“Misi bersama itu boleh disifatkan sebagai berjaya. Aspek paling penting, terdapat keperluan untuk membuat susulan dalam memastikan perkara yang dibangkitkan dan dibincangkan diberi perhatian dan ditimbal balik.

“Walaupun Indonesia dan Malaysia tidak menjangka sebarang keputusan segera yang ketara daripada semua pertemuan ini, kedua-dua pemimpin telah memberikan mesej yang jelas mengenai kepentingan EU untuk mengambil kira kehendak mereka dan pada masa yang sama membuka laluan untuk kerjasama pada masa depan,” menurut CPOPC dalam kenyataan di sini hari ini.

Misi ini diketuai bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto.Ini adalah susulan kepada keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Peringkat Menteri Dua Hala CPOPC yang diadakan pada 9 Feb 2023 di Jakarta, Indonesia.

Indonesia dan Malaysia melihat EUDR sebagai bersifat diskriminasi dan membebankan yang bukan sahaja akan memberi impak buruk kepada perdagangan antarabangsa tetapi juga akan menghalang usaha industri minyak sawit untuk mencapai Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Kedua-dua negara telah menyatakan harapan mereka bahawa EU akan mematuhi prinsip ketelusan, tanpa diskriminasi, selaras dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), terutamanya dalam perdagangan minyak sawit dan produknya.

“Indonesia dan Malaysia percaya bahawa EUDR tidak seharusnya mewujudkan gangguan perdagangan atau diskriminasi dari segi liputan produk dan layanan nasional,” katanya.

Walaupun negara-negara membangun terus membina sistem perdagangan pelbagai hala yang mampan, penting bahawa peraturan baharu perlu dicapai melalui pendekatan yang seimbang, inklusif dan bukan sekatan perdagangan, katanya.

Loading...
Terkini