comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MPOB anjur seminar tinjauan dan pandangan Ekonomi Minyak Sawit pada 11 jan 2024

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 pada 11 Jan, 2024 untuk menyebarkan maklumat berkaitan prestasi industri sawit Malaysia pada 2023, prospek pasaran dan tinjauan harga 2024 serta perkembangan pasaran terkini dalam industri.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata R&O 2024 akan memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai prestasi industri sawit.

“Pakar industri akan berkongsi mengenai strategi, cabaran, peluang, prospek dan perkembangan pasaran industri sawit bukan sahaja di Malaysia malah juga seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Parveez turut akan membentangkan kertas kerja mengenai prestasi industri sawit bagi 2023 dan prospek untuk 2024 pada seminar itu.

Menurut MPOB, R&O 2024 bertemakan ‘Memenuhi Keperluan Global dengan Minyak Sawit Mampan’ akan menumpukan mekanisasi dan automasi dalam ladang sawit, kesan cabaran global terhadap bekalan dan permintaan minyak sawit serta  prospek minyak sawit.

Seminar itu juga akan membincangkan komitmen industri sawit Malaysia terhadap pembangunan mampan di samping memenuhi permintaan global, jelasnya.

“Sembilan kertas kerja yang mengetengahkan prestasi industri sawit bagi 2024, prospek pasaran dan tinjauan untuk 2023, serta perkembangan, cabaran dan peluang dalam sektor sawit akan dibentangkan pada seminar itu.

“Selain itu, pakar industri akan membincangkan topik yang merangkumi pelan hala tuju Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dalam meningkatkan kemampanan minyak sawit dan memerangi kempen antiminyak sawit, dan faedah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kepada ekonomi Malaysia,” menurut MPOB.

Loading...
Terkini