comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

MPOB, Iran teroka kerjasama dalam R&D sawit

Dr Zainab (tengah) menyambut kunjungan rasmi delegasi dari Iran yang diketuai Dr Mojtaba (lima dari kiri).

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) : Iran sedang meneroka kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) minyak sawit, bertujuan mengatasi cabaran dan memanfaatkan potensi besar yang wujud bagi kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pengarah (R&D) MPOB Dr Zainab Idris berkata MPOB dan Kementerian Pertanian Iran turut berusaha untuk meneroka inisiatif penyelidikan dan pembangunan bersama mengenai sektor sawit.

Baru-baru ini, delegasi dari Iran yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Presiden Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan & Pengembangan Pertanian (AREEO) Dr Mojtaba Khayam Nekouei telah mengadakan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat MPOB.

Dalam kunjungan itu, Mojtaba telah menyatakan minat Iran untuk memeterai dua memorandum persefahaman dengan MPOB dalam bidang R&D minyak sawit secepat mungkin.

Menurut MPOB, delegasi Iran turut menyambut baik cadangan kerjasama penyelidikan yang diutarakan olehnya dalam bidang kajian pemakanan minyak sawit.

“Kajian seperti ini dilihat sebagai langkah proaktif kedua-dua negara dalam meningkatkan imej sawit Malaysia dan seterusnya dapat mengubah persepsi negatif terhadap minyak sawit dalam kalangan masyarakat Iran,” kata Zainab.

MPOB telah mengadakan perbincangan awal dengan institusi penyelidikan Iran seperti National Nutrition and Food Technology Research (NNFTRI) dan Universiti Sains Perubatan Tehran (TUMS).

Zainab berkata pertemuan itu merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan meletakkan asas bagi kerjasama berpanjangan antara kedua-dua negara.

“MPOB bersetuju untuk meneroka kemungkinan berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dengan  Iran dan kami berharap dapat belajar daripada pandangan dan pengalaman unik negara tersebut dalam sektor pertanian melalui ikatan memorandum persefahaman,” katanya.

Iran merupakan pengimport bersih minyak dan lemak dan pengeluaran tempatannya mencukupi untuk hanya 29.1 peratus daripada jumlah keperluannya manakala pada 2022, ia menggunakan 2.09 juta tan minyak dan lemak untuk kegunaan domestik.

“Negara itu adalah antara pengimport penting minyak sawit Malaysia dan juga rakan dagangan utama Malaysia. Jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Iran pada 2022 ialah 492,688 tan, meningkat 13.6 peratus daripada tahun sebelumnya, dengan nilai RM2.79 bilion.

“Produk utama berasaskan sawit Malaysia yang dieksport ke negara tersebut pada tahun lepas ialah olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), minyak sawit RBD, bahan gantian lemak koko dan minyak masak,” katanya.

Bagi enam bulan pertama 2023, jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Iran meningkat 53 peratus kepada 185,946 tan berbanding dengan jumlah bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Loading...
Terkini