comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Nilai eksport industri perkayuan disasar cecah RM28 bilion menjelang 2030

Oleh: Nurin Farhana Rishdy

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), menetapkan sasaran untuk meningkatkan nilai eksport industri perkayuan Malaysia sehingga RM28 bilion menjelang 2030.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang RM21.8 bilion kepada pendapatan eksport tahun lalu, dengan produk kayu dieksport ke lebih 173 negara.

Namun begitu, nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu menyusut sebanyak 13.3 peratus pada tahun 2023, manakala kuantiti pula telah menurun dengan kadar 4.2 peratus.

“Kemerosotan eksport ini ada beberapa sebab, salah satu daripadanya ialah kedudukan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu menyebabkan permintaan berkurangan,

“Eksport kita dulu hampir 40 peratus membabitkan industri perabot dan produk kayu-kayan pergi ke Amerika, jadi apabila itu (permintaan berkurangan) berlaku, maka eksport terjejas sedikit”, katanya.

Tambahnya, antara faktor lain yang mempengaruhi termasuklah ketegangan geopolitik, dasar perlindungan perdagangan oleh negara pengimport, persepsi negatif, dan persaingan dengan negara-negara pengeksport kayu lain di peringkat global.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC 2023) Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Johari turut mengumumkan pelancaran Polisi Keselamatan Siber (PKS) MTIB untuk memperkuat pengurusan keselamatan maklumat dalam ruang siber, menggantikan Dasar Keselamatan ICT yang telah digunakan sejak tahun 2007.

Polisi tersebut bertujuan untuk menghadapi risiko dan ancaman yang semakin meningkat dalam persekitaran siber yang luas, menjelaskan peraturan dan peranan semua pihak yang terlibat dalam memastikan keselamatan siber yang cekap.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini