comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR: Hentikan sementara kenaikan jika ramai berpotensi muflis

FOTO: Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) wajar menghentikan sementara sebarang kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), sekiranya langkah itu memberi kesan besar kepada rakyat termasuk jika ia mengakibatkan peningkatan tinggi individu muflis, demikian mengikut penganalisis ekonomi.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata bank pusat perlu ‘turun padang’ untuk mengkaji situasi di mana kesan kenaikan OPR menyebabkan lebih ramai ‘jatuh’ bankrap.

Katanya, menerusi pendekatan itu, BNM dapat mengemukakan cadangan kepada kepada apakah ia ada pilihan lain untuk mengawal dasar monetari negara, selain menaikkan OPR.

“BNM telah diamanahkan untuk menjalankan dasar monetari negara, di mana antara tanggungjawab bank pusat ini adalah menyelaraskan kadar OPR yang bersesuaian dengan turun naiknya aliran kewangan negara.

“Sekiranya berita bahawa lebih 30,000 individu berpotensi bankrap jika OPR dinaikkan lagi, maka BNM perlu turun padang untuk mengkaji situasi berkenaan dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung pilihan lain yang masih boleh digunakan untuk mengawal dasar monetari negara,” katanya kepada BH.

Mengenai sama ada bank akan terjejas jika OPR tidak dinaikkan, Aimi Zulhazmi berkata, institusi kewangan tidak akan terkesan secara ketara sekiranya kadar tidak dinaikkan, tetapi ia akan memberi kesan kepada keuntungan terutamanya di pasaran wang di mana perdagangan kewangan antara bank berlaku dengan aktif melalui jabatan perbendaharaan masing-masing.

“Di sinilah keuntungan institusi perbankan yang sebenar bukannya keuntungan pinjaman yang bersifat pulangan jangka panjang, ia juga bersangkutan dengan pengurusan aliran tunai.

“Sekiranya OPR tidak dinaikkan, apa yang dikhuatiri adalah pelabur terutamanya pelabur luar negara menyertai pasaran wang negara akan keluar kerana margin keuntungan mereka berkurangan dan pulangan yang lebih lumayan di luar negara terutama di Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Beliau menjelaskan, kenaikan OPR sebanyak 1.0 peratus tahun lalu tidak pula mengurangkan kadar inflasi malah mengekalkan kadar inflasi diatas 4.0 peratus pada akhir 2022.

“Ia dilihat membantu institusi yang memberi pinjaman tetapi memberi tekanan kepada peminjam sama ada perniagaan mahupun rakyat khususnya yang dibelenggu dengan masalah kenaikan kos sara hidup.”Dengan ekonomi dunia 2023 yang dijangka suram, maka ekonomi domestik tidak boleh lari daripada turut perlahan yang mana kenaikan OPR pasti menyekat perniagaan yang mahu mengembangkan perniagaan.

“Kenaikan OPR juga turut berkemungkinan menurunkan angka pinjaman baru seperti pembelian kereta, rumah dan lain-lain yang menjadi enjin kepada ekonomi domestik. Industri automotif dan perumahan tempatan juga menerima kesan berganda dengan pengurangan permintaan dari pengguna,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, sekiranya kenaikan OPR diteruskan, pihak bank perlu mengambil inisiatif memanggil peminjam yang terjejas untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman.

“Sekiranya tidak akan berlaku peningkatan pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam masa tiga bulan dan seterusnya tindakan undang-undang terpaksa dikenakan kepada peminjam.

Justeru, kerajaan juga boleh mencadangkan kepada bank untuk memberikan moratorium bersasar untuk tempoh beberapa bulan bagi mengelakkan situasi NPL ini dapat dibendung dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, BNM masih mempunyai ruang untuk tidak menaikkan OPR memandangkan ekonomi global yang dijangka mengalami kemelesetan.

“Tekanan inflasi pun sudah berada pada tahap yang lebih baik. Namun begitu, keadaan kos sara hidup masih lagi meningkat secara mendadak dan begitu menyeksakan rakyat.

Kenaikan OPR akan menambahkan lagi derita rakyat teramai.”Malah, saya tidak fikir bank akan terjejas (jika OPR kekal). Malah bank masih lagi untung pada ketika ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kenaikan OPR sangat perlu ketika ini dengan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan, Irwan Shah berkata, ia disebabkan kitaran dasar monetari yang diperketatkan terutamanya di AS, namun begitu, ia bergantung kepada keadaan ekonomi di AS juga, seperti keadaan pasaran buruh.

“Memandangkan di Malaysia isu utama negara adalah kos sara hidup yang mencanak naik, saya berpendapat OPR tidak perlu dinaikkan buat masa ini.”Apa yang perlu dilaksanakan kerajaan untuk mengelakkan ramai diisytiharkan adalah terus berbelanja, bukannya berjimat cermat.

Jika kerajaan berbelanja, duit akan mengalir kepada rakyat dari banyak segi. Aktiviti, program, ataupun projek kecil-kecilan pun akan menjana ekonomi kepada rakyat,” katanya.Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, keputusan BNM sama ada harus menaikkan OPR atau tidak bukan sahaja bermaksud untuk menurunkan kadar inflasi tetapi untuk memastikan pelabur asing kekal melabur di Malaysia dengan berterusan membeli Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Bagaimanapun, jika OPR tidak dinaikkan, bank komersil tidak terjejas kerana ia sentiasa mencatatkan keuntungan berbilion ringgit walaupun semasa pandemik dan krisis ekonomi sepanjang tempoh dua hingga tiga tahun ini.

“Malahan keuntungan berbillion dinikmati semasa OPR pada kadar 3.25 peratus sebelum pandemik dan juga OPR 1.75 peratus semasa pandemik.

Oleh itu tiada kesan kepada bank komersil kerana kadar OPR masih rendah berbanding sebelum pandemik,” katanya.

Justeru, Ahmed Razman berkata, BNM harus melihat senario impak ke atas pelaburan di Malaysia jika kadar OPR kekal pada kadar sekarang dengan melihat sama ada pelabur asing akan berterusan menarik pelaburan keluar dari negara untuk menikmati pulangan lebih besar seperti di AS disebabkan kadar faedah yang lebih tinggi.

“Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) harus bekerjasama rapat dengan pihak institusi kewangan untuk memberi khidmat nasihat dan penstrukturan kredit kepada peminjam yang mengalami masalah komitmen pembayaran dan berisiko tinggi untuk muflis,” katanya. – Berita Harian

Loading...
Terkini