comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pendapatan usahawan desa boleh meningkat sehingga 30% menerusi pendigitalan: KKDW

JOHOR BAHRU: Penglibatan dalam pendigitalan perniagaan mampu meningkatkan hasil jualan produk dan pendapatan usahawan desa sehingga 30 peratus.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata justeru, kerajaan akan terus komited meneroka pasaran baharu menerusi platform e-dagang dalam usaha memasarkan produk luar bandar.

“Kita menyasarkan mahu melahirkan 1,000 usahawan desa dalam pendigitalan tahun ini menerusi Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Desa. Kita mencapai 1,247 usahawan setakat ini dan kita mahu mereka boleh meningkatkan pendapatan sehingga 30 peratus selepas memasarkan produk mereka dalam talian.

“Ketika COVID-19 dulu, ramai usahawan tidak dapat memasarkan produk secara tradisional (luar talian) namun, menerusi Program Desamall serta PPU Desa, kita berjaya meningkatkan pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PPU Desa Siri 5/2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, pada Selasa.

Beliau berkata PPU telah membantu usahawan desa menambah baik operasi perniagaan sekali gus mengembangkan perniagaan di samping meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan perniagaan.

Pelbagai pendedahan dan latihan digital serta bantuan berkaitan pendigitalan perniagaan disediakan oleh KKDW dan rakan strategik antaranya Shopee, Lazada, Maxis dan CelcomDigi bagi mendigitalkan lebih ramai usahawan desa, katanya.

Che Murad Sayang berkata sebanyak 269 usahawan desa termasuk daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) menyertai PPU Desa di Johor Bahru sebelum siri terakhir dijadualkan diadakan di Alor Setar, Kedah bulan depan.

Sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah nilai jualan terkumpul melalui Program Desamall adalah RM5.84 juta dan unit simpanan stok (SKU) sebanyak 28,334 di semua platform e-dagang.

Lebih 60,000 usahawan desa berada dalam ekosistem keusahawanan KKDW dan daripada jumlah itu, 5,350 usahawan desa telah menyertai Program Desamall dengan memasarkan produk secara dalam talian di platform e-dagang.

Loading...
Terkini