comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pengeluaran perindustrian Mei kembali pulih -DOSM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia pulih kepada 4.7 peratus pada Mei 2023 daripada -3.3 peratus dalam bulan sebelumnya.

Menurut  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pengembangan itu didorong oleh peningkatan terutamanya sektor pembuatan sebanyak 5.1 peratus (April 2023: -3.0 peratus); perlombongan 2.9 peratus (April 2023: -4.9 peratus) dan elektrik 5.0 peratus (April 2023: -2.0 peratus).

“Kenaikan 5.1 peratus bagi sektor pembuatan pada Mei 2023 itu dipacu oleh pertumbuhan memberangsangkan dalam industri berorientasikan domestik seperti pembuatan kenderaan bermotor, trailer dan separa trailer (16.4 peratus) dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali jentera dan peralatan (11.9 peratus),” katanya.

Selain itu, industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 2.8 peratus berbanding April 2023 sebanyak -3.5 peratus, didorong oleh kenaikan pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan (13.0 peratus) dan pembuatan kok dan petroleum bertapis (5.9 peratus).

Menurutnya, peningkatan pengeluaran dalam sektor perlombongan kepada 2.9 peratus pada Mei 2023 pula dipacu oleh kenaikan dalam kedua-dua indeks minyak mentah dan kondensat serta gas asli masing-masing sebanyak 0.6 peratus dan 4.5 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata, pada masa sama, output elektrik menokok 5.0 peratus pada Mei 2023 selepas negatif 2.0 peratus pada April 2023.

Bagi tempoh lima bulan pertama 2023, IPP menyederhana kepada 2.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2022 (Januari – Mei 2022: 4.1 peratus).

Loading...
Terkini