comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Peralihan tenaga berupaya mantapkan ekonomi Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) perlu mendepani peralihan tenaga kerana ia akan membantu mereka menyelesaikan banyak isu yang kini dihadapi sektor tenaga, sekali gus memacu ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata industri OGSE mesti mengenal pasti cara untuk kekal relevan dalam kehidupan hari ini dan yang menjadikan ia berbeza dengan industri-industri lain yang telah lenyap.

“Kita perlu ingat bahawa OGSE adalah dalam perniagaan yang sedang berkembang. Dengan membentuk semula model perniagaan kita melalui peralihan tenaga, saya yakin sektor ini akan terus memacu ekonomi Malaysia ke hadapan, seperti yang telah dilakukan selama bertahun-tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada persidangan Jerayawara OGSE Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Rafizi berkata, kerajaan sudah mendahului usaha itu dengan mengumumkan Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menggariskan 10 projek utama yang akan menawarkan sehingga RM1.85 trilion peluang pelaburan menjelang 2050.

Beliau berkata, 85 peratus syarikat OGSE teras di Malaysia terdiri daripada PKS, dengan kurang daripada 75 pekerja dan pendapatan RM20 juta dan ke bawah.

“Mereka menghadapi cabaran yang sama dengan PKS lain: kurang akses kepada modal, persaingan sengit dengan pemain yang lebih besar, kekurangan bakat dan penggunaan teknologi.

“Ini bersandarkan fakta bahawa banyak syarikat OGSE masih pulih dari kesan jangka panjang kejatuhan harga minyak pada 2014 dan COVID-19,” katanya.

Loading...
Terkini