comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] KL20 bakal lonjak Malaysia sebagai kuasa besar E&E


KUALA LUMPUR: Acara Sidang Kemuncak KL20 2024 pada 22 hingga 23 April ini bakal melonjakkan Malaysia sebagai kuasa besar dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) global.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ketika ini, Malaysia sudah bertapak dengan kukuh dalam aktiviti seperti pemasangan dan pengujian.

Bagaimanapun, katanya, terdapat keperluan yang mendesak untuk mencapai kemajuan dalam hal membabitkan reka bentuk, fabrikasi, dan komponen bernilai lebih tinggi.

“Oleh itu, persoalan yang timbul adalah, adakah kita selesa dengan hanya mengekalkan ‘status quo’ atau adakah kita bersedia untuk mengatasi keupayaan semasa.

“Inisiatif itu bukan hanya bergantung kepada kejayaan sedia ada tetapi perihal merebut kepimpinan dalam sektor E&E global. Kertas Tindakan KL20 berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik untuk mencapai tahap baharu,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Rafizi berkata, dengan strategi yang betul dan usaha bersama, Malaysia bersedia untuk menjadi kuasa besar dalam industri E&E global.

“KL20 adalah peluang kita untuk melompat ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta dalam kalangan pelabur antarabangsa dan syarikat pemula niaga dijangka menghadiri KL20 pada tahun ini.

Ini termasuk perintis industri seperti Rakan Kongsi Pengurusan GGV Capital, Jenny Lee; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Hive, Geraldine Andrieux Gustin dan Naib Presiden Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Pelaburan China Investment Corp, Qi Bin yang akan berkongsi pandangan mengenai faktor yang merangka masa depan keusahawanan dan inovasi.

Acara itu akan turut mengetengahkan potensi Malaysia sebagai persekitaran serba kondusif untuk syarikat pemula, terutama dalam sektor utama seperti pembuatan dan automasi, teknologi pertanian atau agritech, teknologi bersih serta kewangan Islam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini