comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan Malaysia dijangka lebih baik separuh kedua 2023

Foto: Perlabuhan Kontena

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd mengekalkan pendiriannya bahawa prestasi perdagangan negara dijangka bertambah baik menjelang separuh kedua 2023 berikutan pemulihan yang diramalkan dalam ekonomi global.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya pertumbuhan global dijangka meningkat menjelang separuh kedua 2023 dengan kedudukan kewangan yang stabil berikutan kebanyakan bank pusat utama global akan mencapai kemuncak objektif dasar kadar faedahnya, dan momentum inflasi mungkin terus reda.

“Eksport dijangka tidak merosot pada separuh pertama 2023. Walaupun terdapat penyusutan tahun ke tahun pada Mac, kami meramalkan kestabilan yang berterusan bagi momentum eksport dan import, menunjukkan paras terendah proses pertumbuhan eksport boleh berlaku seawal separuh kedua 2023,” katanya.

Walaupun, permintaan luaran suram, RHB Investment berpandangan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan dapat dihadkan.

“Ekonomi domestik yang didorong oleh keadaan pasaran buruh yang teguh, projek infrastruktur berskala besar yang berterusan dan peningkatan aktiviti pelancongan, akan terus merangsang momentum ekonomi.

“Analisis terperinci kami menunjukkan ekonomi domestik menjadi lebih besar, dan pergantungan luaran khususnya pasaran buruh terhadap situasi ekonomi global, semakin merosot,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini