comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Majoriti rakyat Malaysia masih mampu beli kereta baharu

Foto hiasan 

KUALA LUMPUR: Pembelian kereta baharu masih mampu dibuat oleh kebanyakan isi rumah Malaysia di sebalik kadar inflasi tinggi dan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, demikian menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, berkata ia disokong oleh antara lain keyakinan pengguna yang kukuh didokong oleh ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat.

Selain itu, katanya, tahap kemampuan memiliki kenderaan bermotor juga disokong oleh harga kereta baharu yang stabil berikutan penangguhan peraturan duti eksais baharu, yang boleh menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat sebanyak lapan hingga 20 peratus.

“Malah, kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah pengurangan baki dalam pengiraan caj faedah, manakala model baharu yang menarik turut menyumbang (pembelian kereta baharu).

“Bagaimanapun, kami mengakui bahawa rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku mungkin menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan.

“Namun, kami kekal optimis terhadap jualan kenderaan dalam segmen mampu milik dengan pembeli daripada kumpulan B40 yang tidak terkesan dengan rasionalisasi subsidi selain berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Wan Mustaqim berkata, bagi jenama tempatan, model PERODUA dan PROTON mencatatkan angka jualan yang baik, dengan harga kompetitif berbanding jenama bukan nasional sambil menawarkan ciri teknologi dan keselamatan yang dipertingkatkan.

Kenanga Investment Bank berkata, jualan kenderaan akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan insentif kenderaan elektrik (EV) lain sehingga tahun 2025 untuk unit diimport sepenuhnya (CBU) dan 2027 untuk unit pemasangan tempatan (CKD).

“Pendaftaran baharu BEV melonjak dengan ketara sejak dua tahun lalu (daripada 274 unit pada 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan 9,000 unit menjelang November 2023) dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid.

“Sementara itu, kerajaan komited untuk membolehkan pengendali titik pengecasan (CPO) mendapatkan kelulusan lebih pantas untuk pemasangan bagi memberi keselesaan kerana hanya 1,434 stesen pengecas EV telah dibina setakat ini,” katanya.

Loading...
Terkini