comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Perdagangan Malaysia dipacu pemulihan semikonduktor dunia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pemulihan semikonduktor global dijangka terus memacu perdagangan luar Malaysia pada separuh kedua tahun ini, demikian menurut penganalisis.

Ahli Ekonomi CIMB Securities, Vincent Loo, berkata eksport elektrik dan elektronik (E&E) dilihat meneruskan momentum meningkat.

Katanya, eksport Korea Selatan yang menjadi barometer utama untuk eksport serantau meningkat untuk bulan kelapan berturut-turut, mengekalkan kadar pertumbuhan dua angka sebanyak 11.5 peratus pada Mei 2024 di sebalik penghantaran semikonduktor yang kukuh.

Melangkah ke depan, beliau berkata, pemulihan semikonduktor global dijangka terus memacu pemulihan dalam perdagangan luar Malaysia dalam beberapa bulan akan datang, dengan eksport E&E semakin meningkat.

“Selain itu, ketegangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan berkemungkinan akan terus menyemarakkan trend China+1, iaitu kepelbagaian perdagangan dari China ke arah ekonomi serantau,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Loo berkata, secara keseluruhan, pihaknya terus kekal optimis dengan berpegang kepada jangkaan bahawa prestasi eksport dan import akan meningkat semula kepada kadar pertumbuhan masing-masing 4.3 peratus dan 4.7 peratus untuk 2024.

Eksport Malaysia terus berkembang pada kadar yang kukuh sebanyak 7.3 peratus pada Mei 2024 walaupun susut berbanding 9.0 peratus pada April 2024.

Prestasi pada bulan itu dipimpin oleh eksport pembuatan dan pertanian, tetapi diimbangi penurunan mendadak dalam eksport perlombongan.

Import pula merosot kepada 13.8 peratus pada Mei 2024, mencerminkan sedikit penurunan dalam import barangan perantaraan dan penggunaan.

Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM10.1 bilion pada Mei 2024, meningkat sebanyak 30.9 peratus bulan ke bulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini