comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Petronas Gas untung RM1.65 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 susut kepada RM1.65 bilion daripada RM1.99 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Walau bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM6.16 bilion daripada RM5.65 bilion bagi tempoh yang sama, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Petronas Gas menjelaskan, peningkatan jumlah perolehan itu didorong terutama oleh perolehan lebih tinggi yang dicatatkan segmen utiliti susulan harga produk yang meningkat.

Penyusutan keuntungan bersih itu pula sejajar dengan keuntungan kasar yang rendah ditambah dengan kesan pergerakan pertukaran asing yang tidak menggalakkan dan perkongsian keuntungan yang berkurangan daripada syarikat-syarikat usaha sama.

“Prestasi ini diimbangi oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada pelaburan dana,” tambahnya.

Mengulas mengenai prestasi bagi tahun kewangan 2022, Petronas Gas menekankan kumpulan mengekalkan prestasi kebolehpercayaan berkelas dunia bagi semua loji dan kemudahannya sepanjang tahun lalu.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 keuntungan bersih Petronas Gas berkurangan kepada RM412.55 juta daripada RM452.63 juta yang diraih semasa suku keempat tahun kewangan 2021 manakala perolehan pula menokok kepada RM1.63 bilion daripada RM1.50 bilion.

Syarikat itu juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat keempat sebanyak 22 sen sesaham biasa, dengan lepas tarikh 3 Mac 2023 dan boleh bayar pada 15 Mac 2023. – BERNAMA

Loading...
Terkini