comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

PMI Malaysia dijangka kekal konsisten seiring trend PMI global

-FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia dijangka kekal konsisten dengan aliran PMI global, mengambil kira perkembangan industri pembuatan yang pelbagai dan tidak menentu, kata PublicInvest Research.

Dalam nota penyelidikan Economic Update firma itu,  ia menyatakan bahawa kebimbangan itu berasaskan kepada faktor yang mempengaruhi industri kepada risiko penurunan yang ketara.

Faktor ini termasuk tekanan inflasi, yang pada masa ini berada pada tahap tinggi, kesan kadar faedah yang berterusan dan konflik geopolitik yang berterusan.

“Oleh itu, kami mengunjurkan bahawa PMI Malaysia akan terus merosot di bawah paras 50 mata, berlanjutan sekurang-kurangnya hingga suku ketiga 2023.

“Bagaimanapun, unjuran kami menunjukkan bahawa industri pembuatan secara keseluruhan masih akan mengalami pengembangan 4.4 peratus yang membanggakan pada 2023,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan bahawa prestasi perdagangan luar Malaysia pada suku kedua 2023 terus menguncup seperti yang dinyatakan dalam nota PMI S&P.

Menurut nota penyelidikannya, ia berkata sentimen perniagaan yang lemah akan terus menambah tekanan ke bawah terhadap ringgit, di samping perbincangan berkaitan had hutang AS dan kemungkinan lanjutan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan penyusutan nilai semasa ringgit hanya sementara dan mata wang itu akan kembali pulih sebaik sahaja isu fiskal dan monetari di AS selesai.

“Pemulihan semula angka PMI pembuatan Jepun dan China serta keyakinan berterusan terhadap ekonomi India mungkin meningkatkan permintaan perdagangan serantau di Asia yang akan memberi manfaat kepada Asean dan Malaysia,” kata MIDF Research.

Data PMI kilang di Jepun dan China melantun semula ke haluan pengembangan, masing-masing pada 50.6 dan 50.9 pada Mei 2023.

Firma penyelidikan itu menjangkakan perdagangan luar Malaysia akan menyusut sedikit pada separuh kedua 2023, manakala ringgit akan meningkat.

Dalam pada itu, permintaan domestik di Malaysia dijangkakan kekal berdaya tahan dalam keadaan tekanan inflasi yang lebih lemah, pasaran buruh yang bertambah baik, pemulihan aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong.

Pada Khamis, S&P Global Market Intelligence berkata pelarasan musim PMI S&P Global Malaysia mencatatkan 47.8 pada Mei, turun daripada 48.8 pada April.

Walau bagaimanapun, masa penghantaran daripada pembekal bertambah baik dan dipendekkan. Sentimen itu diserlahkan sebagai yang terendah sejak Jun 2022.

Dalam kalangan negara serantau, corak penguncupan angka PMI pembuatan di Taiwan (44.3), Vietnam (45.3) dan Korea Selatan (48.5).

Loading...
Terkini