comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Projek aerotrain KLIA dijangka siap lebih awal daripada jadual

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Projek Penggantian Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka siap menjelang 31 Januari 2025, dua bulan lebih awal daripada jadual asal.

Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), garis masa yang dipercepatkan itu dimuktamadkan melalui kontrak yang ditandatangani pada 14 Jun 2024 antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), anak syarikat milik penuhnya, dan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (ALSTOM) serta usaha sama terdiri daripada IJM Construction Sdn Bhd dan PESTECH Technology Sdn Bhd (IJMC-PESTECH JV), yang mempercepatkan tarikh siap asal pada 31 Mac 2025 sehingga dua bulan.

“Sebagai Ketua Penyelarasan Projek, ALSTOM akan menyelia penghantaran tiga kereta api baharu, peningkatan dua laluan, dan keseluruhan ujian komprehensif yang diperlukan untuk keselamatan operasi.

“Pada Mac 2022, Malaysia Airports telah mengumumkan penganugerahan Projek Penggantian Aerotrain KLIA dengan tempoh masa untuk disiapkan selama tiga tahun.

“Bagaimanapun, projek ini mengalami kelewatan yang telah mengakibatkan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024, kepada konsortium yang terdiri daripada ALSTOM – pengilang peralatan asal (OEM) Aerotrain – dan IJMC-PESTECH JV, untuk mengemudi projek ini kembali ke landasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB berkata, di sebalik masalah itu, pihaknya dan rakan kongsi projek telah bekerjasama dengan berkesan untuk mencapai tarikh siap lebih awal daripada jadual asal dengan melaksanakan strategi inovatif dan pengurusan projek yang cekap.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohamed Rastam Shahrom, berkata pihaknya menghargai kesabaran penumpang KLIA sepanjang kerja naik taraf kemudahan lapangan terbang berkenaan.

“Penyiapan awal projek ini lebih awal daripada tarikh asal yang dirancang, adalah bukti komitmen tanpa henti kami untuk meningkatkan pengalaman penumpang.

“Kemajuan ini bukan sahaja menangani keperluan operasi segera tetapi juga mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan terkemuka di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf dunia kepada penumpang kami,” katanya.

Mengikut garis masa projek, aerotrain baharu dijangka tiba ke Malaysia dari China menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

Aerotrain itu kemudiannya akan menjalani pentauliahan dan ujian ketat oleh pihak berkuasa yang berkaitan sebelum operasi rasmi boleh dimulakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini