comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Pusat data, pemulihan dagangan luar rangsang pelaburan asing – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pembangunan pusat data dan pemulihan perdagangan luar dilihat akan menjadi antara faktor utama merangsang aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia, kata penganalisis.

MIDF Research berkata, diukur dari segi peratusan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), aliran masuk FDI bersih ke Malaysia kekal stabil melebihi paras 50 peratus sejak 2021.

Katanya, ia disumbangkan terutamanya oleh saham ekuiti dan dana, sementara instrumen hutang masih dalam nisbah defisit.

Ia berkata, pada suku pertama 2024, aliran masuk FDI meningkat 5.5 peratus berbanding suku keempat 2023 sebanyak 5.4 peratus dan 2023 sebanyak 7.5 peratus.

Jelasnya, pada suku pertama 2024, saham ekuiti dan dana meningkat 2.2 peratus berbanding suku keempat 2023 sebanyak 2.5 peratus dan 2023 sebanyak 5.8 peratus), manakala instrumen hutang meningkat 30.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding 26.6 peratus pada suku keempat 2023 dan 20.3 peratus pada 2023.

“Mengikut sektor, lebih 90 peratus aliran FDI masuk ke dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Pelaburan dalam sektor perkhidmatan meningkat dengan kukuh sebanyak 10 peratus disokong perdagangan dalam negeri 7.3 peratus, kewangan dan insurans sebanyak 8.9 peratus dan teknologi maklumat, komunikasi dan teknologi (ICT) sebanyak 20.5 peratus.

“Kami berpendapat pertumbuhan FDI yang kukuh dalam ICT sangat berkaitan dengan pusat data dan pelancaran projek 5G,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, penyedia infrastruktur telekomunikasi berpotensi meraih manfaat daripada permintaan yang kukuh terhadap pusat data di negara ini.

Katanya, pengumuman pusat data juga memberangsangkan dan boleh memberikan peningkatan kepada pinjaman perniagaan dan perniagaan perbankan pelaburan.

Menuju ke depan, MIDF Research menjangkakan peningkatan yang lebih kukuh dalam sektor berorientasikan eksport seperti pembuatan, perlombongan dan pertanian dalam separuh kedua 2024 di tengah-tengah aktiviti perdagangan global yang bertambah baik dan harga komoditi global yang stabil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini